Ong Kim Swee tak mahu peminat letak harapan terlalu tinggi untuk Sabah FC

365

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee meminta agar peminat pasukan itu tidak meletakkan harapan terlalu tinggi buat skuadnya untuk saingan Liga Super pada musim ini.

Menurut Kim Swee, walaupun Sabah tahun ini melakukan rombakan besar-besaran dengan membawa masuk ramai pemain berkualiti, namun ia tidak akan mampu mencapai kejayaan dalam tempoh yang singkat.


“Saya secara peribadi tidak meletak sasaran tinggi walaupun kita (Sabah) menandatangani ramai pemain senior kerana mereka perlu bekerjasama dengan pemain sedia ada untuk kita dapatkan kerserasian.

Dalam masa terdekat kita tak mampu nak dapatkan apa-apa keputusan yang positif. Bagaimanapun saya percaya dengan gabungan pemain senior dan muda mampu memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain,”

ujarnya kepada Harimau Malaya.

Tambah Ong Kim Swee lagi, beliau percaya pasukan Sabah selepas ini mampu untuk menyaingi pasukan gergasi seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Terengganu FC (TFC) dan pasukan lain sekiranya mereka konsisten sepanjang musim ini.

Beliau berkata demikian selepas ramai peminat bola sepak tempatan terutamanya peminat Sabah sendiri menyuarakan keyakinan mereka Sabah mampu berada pada kedudukan Top 3 untuk musim ini.

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Dalam pada itu, bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ini turut mendedahkan mengapa beliau memilih untuk membawa masuk dua tonggak utama Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah.

“Saya sudah mengenali kedua-dua pemain ini cukup lama sejak mereka bermain dalam skuad kebangsaan yang saya kendalikan, jadi dari situ hubungan saya dengan kedua-dua pemain ini sangat baik.

Apabila saya menghubungi mereka dan memberitahu pelan jangka panjang saya untuk Sabah, mereka tidak ambil masa yang lama untuk bersetuju bermain untuk Sabah.”

Sumber foto: Sabah FC Facebook

Pada masa sama Ong Kim Swee berkata pemilihan Baddrol dibuat kerana beliau merasakan kapten kebangsaan mempunyai sifat kepimpinan bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang.

“Kalau kita tengok Baddrol, beliau merupakan antara pemain yang paling tenang di padang dalam apa sahaja situasi, jadi secara tidak langsung ia akan memberi impak kepada seluruh pasukan.”

Sabah sudah pun memulakan sesi latihan sejak penghujung bulan Disember lalu dan kini sedang menunggu beberapa pemain baru untuk turut serta sebelum mereka akan buat sesi latihan penuh.

Akhir sekali, Ong Kim Swee berkata sekiranya setiap pemainnya dapat mengikut setiap arahannya dan konsisten, beliau yakin Sabah mampu mencapai kejayaan terutamanya piala Liga Super.