Seperti dianaktirikan berlatih di negara sendiri, jangan sampai menyesal Azizulhasni tak dapat ‘perform’ di Olimpik

2,114

Pagi ini, arena sukan negara dikejutkan dengan hantaran Facebook daripada atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang meluahkan apa yang terbuku di hatinya mengenai layanan serta kesukaran yang dihadapinya untuk berlatih di sini.

Beliau menceritakan tentang apa yang berlaku apabila beliau diminta untuk kembali menjalani latihan di Malaysia daripada bumi Melbourne, Australia sejak Januari tahun ini.


Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu yang dijanjikan dengan suasana latihan yang lebih baik daripada Melbourne tidak berpuas hati kerana ia hanyalah sekadar janji sedangkan realitinya, apa yang ada adalah lebih teruk dan tidak menepati standard.

Pelumba berusia 35 tahun itu juga kecewa dengan pihak tertentu dalam Majlis Sukan Negara (MSN) yang tidak profesional, dan tidak dapat menyediakan sistem sokongan (support system) yang baik buatnya untuk berlatih di Malaysia.

Luahan pelumba yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ itu mendapat perhatian pengguna media sosial terutama peminat sukan tempatan yang memberi kata-kata semangat buat dirinya.

Ini adalah satu ‘wake up call’ yang perlu dilakukan oleh MSN dan juga pihak dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sendiri harus masuk campur untuk menyelesaikan perkara ini dengan segera.

Atlet yang menjadi harapan untuk pingat emas negara pada temasya Olimpik Paris 2024 tidak seharusnya dibiarkan terkapai-kapai begini di saat Malaysia masih menanti-nanti pingat emas pertama dalam kejohanan itu.

Terdapat beberapa perkara penting yang harus diberi tumpuan dan diselesaikan oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab.

1. Mengapakah pihak MSN memanggil kembali semula Azizul untuk berlatih di Malaysia sedangkan beliau sudah selesa untuk berlatih di Melbourne dengan segala kelengkapan yang mencukupi?

Sedangkan di tanah air sendiri, pihak MSN masih tidak mampu untuk menyediakan sistem sokongan yang terbaik untuk Azizul walaupun sudah sekian lama beliau minta.

Sebagai pihak yang terlibat secara langsung dengan program Road To Gold pada pada Sukan Olimpik 2024, MSN sepatutnya sedar bahawa tanpa sistem sokongan yang baik untuk atlet, ia ibarat membunuh peluang atlet sendiri untuk bersaing bagi mendapatkan emas pada temasya itu.

Azizul juga berkata tindakan memanggilnya pulang ke Malaysia adalah untuk menutup kem latihan di sana secara berperingkat.

Sepatutnya, MSN sudah menyediakan segala kelengkapan latihan yang sama atau lebih baik di Malaysia terlebih dahulu sebelum memanggil pulang Azizul.

2. Dalam hantaran berkenaan, Azizul juga mendedahkan bahawa elaunnya di Melbourne pernah beberapa kali lewat dibayar sehingga ada yang lewat mencecah setahun, dan bayaran hanya dilakukan selepas perkara dibawa ke perhatian Menteri Belia dan Sukan.

Ini adalah satu perkara yang amat serius dan seolah-olah menunjukkan bahawa kebajikan atlet yang sepatutnya dijaga dengan baik oleh MSN tidak diambil serius.

Ini bukan sahaja menyusahkan atlet tetapi boleh memberi kesan kepada emosi sekaligus menyebabkan prestasi mereka menurun.

Apakah pihak yang bertanggungjawab dalam MSN tidak cakna akan perkara ini dan hanya akan mengambil berat tentang elaun atlet apabila ada campur tangan menteri?

3. Azizul juga ada bertanya mengenai apa tindakan yang diambil kepada pegawai-pegawai yang terlibat dalam ‘mendajalkan’ dirinya.

Katanya, atlet yang tidak mencapai KPI atau mempunyai masalah disiplin sudah tentu akan dibuang dari program latihan, tetapi tidak bagi pegawai-pegawai.

Sudah tiba masanya tumpuan diberikan kepada pegawai-pegawai terlibat apabila negara mengalami kegagalan dalam sesuatu kejohanan sukan atau sekiranya terdapat masalah yang berlaku melibatkan atlet.

Jika hanya atlet yang dipersalahkan setiap masa, ia tidak akan mengubah apa-apa dan yang akan menjadi mangsa seterusnya adalah atlet lain.

4. Azizul ada menjelaskan bahawa di Malaysia hanya ada tiga atlet yang pernah memenangi pingat emas di Kejohanan Dunia dalam sukan yang dipertandingkan di Olimik iaitu Cheong Jun Hoong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan dirinya sendiri.

Sebagai antara atlet negara yang bertaraf dunia dan sudah banyak kali mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, beliau sepatutnya dijaga dengan rapi dan tidak perlu memikirkan mengenai perkara-perkara sebegini.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang juga merupakan pengerusi RTG berkata, salah satu tujuan program itu adalah untuk menghapuskan segala ‘roadblocks’ atau perkara-perkara yang mengganggu atlet daripada berpeluang menyumbang pingat emas pada temasya Olimpik.

Berdasarkan kisah Azizul ini, jelas apa yang dilaluinya adalah roadblocks yang amat besar dan boleh menjejaskan peluangnya untuk menyumbang pingat pada Sukan Olimpik tahun depan.

Mungkin ini adalah satu petanda bahawa satu rombakan harus dilakukan dalam MSN sendiri dengan memastikan pihak yang terlibat dikenakan tindakan atau terus disingkirkan.

5. MSN, KBS serta pihak yang terlibat dalam program RTG harus segera menyelesaikan perkara ini dan memastikan Azizul mendapatkan persediaan yang terbaik menjelang Sukan Olimpik tahun depan.

Sama ada menghantarnya kembali berlatih di Melbourne atau menyediakan fasiliti terbaik untuknya berlatih di Malaysia, mereka harus berbincang dan mengambil pandangan Azizul tentang apa yang dirasakan terbaik untuk dirinya.

Beliau telah melakukan banyak pengorbanan demi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa, dan beliau berhak menerima yang terbaik daripada negara sendiri.

Dengan temasya Olimpik Paris berbaki kira-kira setahun lagi, tempoh ini adalah amat genting bukan sahaja buat Azizul tetapi juga buat Malaysia sendiri untuk melihat kilauan emas pertama di Olimpik.

Ini juga anak menjadi Olimpik terakhir buat Azizul dan beliau pastinya mahu memberikan segala-galanya kali ini, tetapi sekiranya perkara seperti ini masih tidak menemui jalan penyelesaian, ini mungkin boleh menjadi Olimpik terburuk buat diri Azizul.

Sama ada beliau akan terus kekal berlatih di Malaysia atau kembali ke Melbourne, itu pastinya menjadi persoalan untuk semua peminat.