Pra musim KDA FC di luar negara?

168

Pasukan gergasi dari utara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) berkemungkinan akan mengadakan latihan pra musim di luar negara.

Pemain sayap kiri Kedah, Syazwan Zainon mengakui pasukan Kedah masih belum memuktamatkan samada mahu melakukan perlawanan pra musim di luar atau dalam negara.


“Buat masa ini memang tiada perkembangan lagi tetapi apa yang saya boleh katakan Kedah memang akan mempunyai perlawanan pra musim samada di luar atau di dalam negara.

Saya tidak dapat pastikan di luar negara, namun ada kemungkinan. Kena tunggu apa kata pihak pengurusan Kedah nanti. Buat masa ini kami pemain-pemain pun belum tahu lagi,”

katanya kepada Harimau Malaya.
Sumber foto: KDA FC Facebook

Ini bukanlah kali pertama Kedah akan melakukan perlawanan pra musim di luar negara kerana sebelum ini pasukan yang pernah dikendalikan oleh bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe juga pernah membawa Kedah membuat perlawanan pra musim di Thailand.

Dalam pada itu, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak ini sudah pun memulakan sesi latihan mereka sejak awal bulan lalu walaupun pasukan masih belum lengkap kerana menunggu ketibaan beberapa pemain lagi.

Ketika ini hanya dua pemain import sudah disahkan bersama Kedah pada tahun ini iaitu Dechi Marcel dan Jang Suk-Won.

Penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad juga kembali ke Darul Aman apabila dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Peminat Hijau Kuning kini menanti pengumuman daripada pihak pengurusan mengenai pemain import baru yang akan dibawa masuk selepas ketiadaan Kpah Sherman, Kipré Tchétché, Anumanthan Kumar, Renan Da Silva dan Rabih Ataya.

Sumber foto: KDA FC Facebook

Ketika ini beberapa nama pemain telah dikaitkan bakal menyarung jersi Kedah antaranya penjaring terbanyak Liga Jordan, Ronald Ngah. Selain itu, bekas pemain Kedah iaitu Liridon Krasniqi juga dikatakan bakal pulang bersama Mohamadou Sumerah secara pinjaman oleh JDT.

Pada masa sama bekas penyerang UiTM FC, Dennis Buschening turut dikatakan bakal Kedah, bagaimanapun sehingga kini ia masih belum disahkan oleh pengurusan Kedah.