Intan Serah ke AS akan ‘buka pintu’ buat lebih ramai pemain tempatan ke sana

864

Bola sepak wanita Malaysia semakin memperlihatkan perkembangan yang cukup positif apabila pemain kebangsaan Malayan Tigress, Intan Sarah Anisah Zulgafli atau mesra dengan panggilan Intan Serah mendapat tawaran untuk di kelab New York Dutch Lions FC di Amerika Syarikat.

Penghijrahan pemain Kelana United FC itu ke New York Dutch Lions menyaksikan beliau menjadi pemain wanita kelima negara yang berkelana ke luar negara selepas Lauren Hoh Ruyi BISP Cruzeiro di Thailand; Berlin Leong di C. F. Pozuelo, Sepanyol dan Nurul Azurin Mazlan yang sebelum ini bermain bersama Misaka United di India.


Hal ini menunjukkan satu perkembangan yang amat baik dalam sukan bola sepak wanita tanah air apabila seorang demi seorang pemain mula dirisik untuk bermain dengan pasukan di luar negara.

Pemain berusia 24 tahun itu menerusi kongsiannya pada hari ini di laman Instagram memberitahu bahawa sebelum ini agensinya iaitu Living Minds My telah menghubunginya dan memberitahu berkenaan kontrak untuk bermain bersama kelab bola sepak wanita berpengkalan di New York tersebut.

Namun disebabkan beberapa isu berkenaan visa untuk ke luar negara serta latihan yang perlu dihadiri untuk temasya Sukan SEA Kemboja baru-baru ini, kontraknya yang sepatutnya tempoh dua bulan kini masih berbaki 18 hari dengan lebih tepat lagi tiga perlawanan yang akan diharungi olehnya.

Meskipun bukan daripada kelab-kelab ternama ataupun bermain di liga-liga besar namun ini menunjukkan bahawa pemain wanita negara mula mendapat perhatian dari luar.

Di samping itu, peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi ini juga amat penting terutama dalam mempromosikan pemain-pemain tempatan kita untuk terus melebarkan sayap mereka di peringkat tertinggi.

Biarpun hanya akan dapat beraksi dalam tiga perlawanan sahaja, namun jika beliau berjaya mempamerkan aksi terbaiknya sepanjang berada di sana, Intan Serah mungkin akan menjadi pencetus atau akan ‘buka pintu’ kepada lebih ramai pemain negara yang mahu berkelana ke Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, beliau mahu memberi fokus penuh sepanjang tempoh beliau disana untuk memastikan beliau mendapat kontrak sekaligus melakukan debut sebagai pemain profesional di sana.