‘Underrated’ tapi Rosle Md Derus cemerlang kemudi KDA FC B

250

Tidak dapat dinafikan saingan Piala MFL 2023 (Liga Simpanan B-23) tidak sepopular atau mendapat perhatian daripada peminat kerana dibayangi oleh saingan Liga Super yang lebih menarik.

Namun bagi yang mengikuti perkembangan liga untuk skuad B-23 pastinya tertarik kerana saingan Piala MFL lebih terbuka dan menarik hendak ditonton kerana terbuka dan tidak didominasi oleh sesebuah pasukan.


Antara pasukan yang memperlihatkan peningkatan sejak kebelakangan ini adalah pasukan Kedah Darul Aman FC B (KDA FC B) yang bersaing dalam Kumpulan A.

KDA FC B bermula dengan langkah kiri apabila tewas kepada Terengganu FC II pada perlawanan pertama, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat ketua jurulatih Rosle Md Derus untuk terus memberi semangat dan membuat percaturan terbaik setiap kali pasukannya turun beraksi.

Hasilnya, selepas sembilan perlawanan Sang Kenari B kini berada di kedudukan kedua kumpulan dengan perbezaan tiga mata sahaja dengan pendahulu liga.

Untuk sembilan perlawanan, anak buah Rosle berjaya menang tujuh kali dan hanya tewas dua kali sekaligus memberi harapan dan gambaran awal bahawa mereka mampu untuk layak ke pusingan kedua Piala MFL.

Sedikit latar belakang Rosle, beliau boleh dikatakan antara pengendali ‘underrated’ walaupun mempunyai pengalaman luas dalam dunia kejurulatihan.

Ini kerana sebelum beliau diberi tanggungjawab untuk mengendalikan KDA FC B, beliau pernah mengendalikan kelab Felcra FC dan juga penolong jurulatih KL City FC.

Malah beliau juga merupakan bekas pemain kebangsaan yang pernah berada dalam skuad Sukan Olimpik pada tahun 2000.

Dalam pada itu, diharap kecemerlangan Rosle akan mendapat perhatian pihak pengurusan untuk terus memberi sokongan dan dorongan untuk beliau terus ‘berkarya’ dalam membentuk pasukan yang kuat.

Tidak mustahil satu hari nanti beliau mungkin mampu untuk kembali mengendalikan pasukan di Liga Super.

Hasil sentuhan beliau, empat pemain KDA FC B telah mendapat panggilan dari ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-23, E. Elavarasan untuk menyertai kem latihan pusat selama seminggu bermula 12 hingga 19 Jun 2023 sebagai persiapan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Chonburi, Thailand bermula 16 hingga 26 Ogos 2023.

Antara pemain yang dipanggil adalah Mohd Aiman Afif, Muhammad Azrin Afiq, Muhammad Aiman Farhan dan Muhammad Hariz.

Sementara itu, baru-baru ini Rosle telah terlibat dalam satu kemalangan selepas pulang dari latihan di mana beliau mengalami kecederaan di bahagian kaki dan telah menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Diharap beliau akan cepat sembuh dan dapat kembali bersama anak buahnya di atas padang secepat mungkin.