SSMZA menakjubkan, sama tahap seperti stadium di Qatar – Felipe Vega Arango

917

Ketua jurulatih Solomon Islands, Felipe Vega Arango memuji Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bakal menjadi medan pertemuan antara pasukannya dan Malaysia esok dengan menyamakannya seperti stadium di Qatar.

Beliau memberitahu kepada anak-anak buahnya supaya mengambil kesempatan bermain di stadium yang menakjubkan itu.


“Kami berada di Qatar tahun lalu untuk kelayakan Piala Dunia dan saya rasakan stadium ini sama tahap dengan stadium di sana.

Tiada satu stadium di Solomon Islands atau di seluruh Oceania ada padang seperti ini, saya beritahu mereka supaya nikmati saat ini dan saya harap saya masih lagi bermain ketika ini,”

katanya.

Dalam pada itu, Arango berkata beliau ada memberitahu pemain sayapnya, Raphael Lea’i supaya menampilkan aksi yang baik pada perlawanan esok kerana ini mungkin boleh membuka peluangnya mendapatkan tawaran dari kelab di Malaysia.

Tambahnya, sebagai satu-satunya pemain profesional dalam pasukan itu, Lea’i menjadi ayam tambatan buat pasukan tetapi beliau tidak akan terlalu membebankan pemain itu.

“Saya harap dia ambil kesempatan ini, mungkin ada pasukan dari Malaysia yang berminat mendapatkannya.

Tetapi saya harus pastikan beliau tidak cedera kerana beliau ada perlawanan menentang Singapura pula selepas ini, dan kemudian beliau perlu pulang ke Bosnia untuk menjalani pramusim.”

Katanya, untuk perlawanan esok, sudah tentu beliau mahu pasukannya mencatatkan kemenangan namun berkata secara realistik, Malaysia adalah pasukan pilihan.