Syazwan Zainon: Saya boleh main lagi dua tahun saja

1,176

Pemain sayap kiri Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Syazwan Zainon memberitahu bahawa beliau berkemungkinan besar akan bersara dari dunia bola sepak lagi dua tahun ketika berusia 35 tahun.

Menurut Syazwan, dia mengakui tidak akan mampu bersaing dengan pemain-pemain muda lain oleh itu beliau mahu beri peluang dan ruang buat pemain muda menyerlah.


“Saya rasa saya boleh main lagi dua tahun macam tu kerana dengan usia saya yang meningkat naik dan tidak lagi laju seperti dulu, jadi agak sukar untuk saya merebut tempat dalam kesebelasan utama,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Syazwan lagi, beliau yang bermain di posisi sayap kiri mempunyai banyak persaingan daripada pemain-pemain mudah Kedah lain.

Antara pemain muda Kedah yang mampu mengisi posisi Syazwan adalah Fayadh Zulkilfli,  Fadzrul Danel, Aiman Afif dan ramai lagi.

Walaupun terpaksa bersaing dengan ramai pemain muda, namun Syazwan tidak menganggap ia sebagai penghalang sebaliknya menjadi motivasi buat dirinya.

Sumber foto: KDA FC Facebook

“Kita semua sedia maklum pemain-pemain muda ini sangat laju jadi saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk memastikan tahap kecergasan saya berada dalam keadaan baik. Saya tak melihat ia seperti halangan sebaliknya ia persaingan sihat di antara pemain-pemain.”

Dalam pada itu, Syazwan yang ditanya mengenai khabar angin yang mengatakan bekas rakan sepasukannya Liridon Krasniqi bakal pulang ke Darul Aman berkata beliau ada mendengar berita tersebut tetapi tidak pasti samada ia benar atau tidak.

Beliau bagaimanapun berkata sekiranya berita itu benar beliau tiada masalah dan teruja untuk kembali bergandingan dengan Liridon yang pernah sama-sama melonjakkan nama Kedah semula sebagai gergasi utara.

Pada masa sama beliau juga gembira dengan kepulangan penyerang kebangsaan Syafiq Ahmad ke Kedah apabila dipinjamkan dari Johor Darul Ta’zim.

“Saya tengok Syafiq gembira ketika latihan, namun kemasukannya dalam pasukan tidak bermakna dia akan mendapat tempat dalam kesebelasan utama, sebaliknya dia juga perlu bersaing dengan pemain-pemain lain yang turut merebut posisi sama.”

Sementara itu, Syazwan turut mengakui berasa sangat terkesan dengan pemergian dua tonggak utama Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali ke Sabah FC, namun mengucapkan yang terbaik buat dua rakan baiknya itu bersama pasukan baru mereka.