Dah menang 4-1 pun anda masih beri tekanan, patutnya beri ruang kami ‘enjoy’ dulu – Kim Pan-gon

9,848

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon kecewa dengan pihak yang terus-menerus mengkritik permainan pasukan walaupun mencatatkan kemenangan besar.

Katanya, apabila mencatatkan kemenangan, pasukan harus diberi ruang untuk bergembira buat seketika sebelum melihat aspek yang perlu diperbaiki.


“Kita haruslah menghargai para pemain kerana mereka telah berusaha keras, apabila kita menang pun anda masih mahu beri tekanan, bagaimana kami mahu tidur?

Kita haruslah nikmati kemenangan terutama apabila kita menang 4-1, kita boleh berpuas hati untuk dua tiga hari dan kemudian barulah kita lihat apa yang perlu diperbaiki,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan persahabatan menentang Solomon Islands yang menyaksikan Malaysia menang 4-1.

Pan-gon bagaimanapun berkata beliau tidak berpuas hati dengan beberapa kesilapan kecil yang dilakukan para pemain terutama melepaskan banyak peluang yang terhidang di depan gol.

“Kalau ikutkan saya mahu kita jaringkan lebih daripada empat gol, kita ada banyak peluang tetapi tidak berjaya menghasilkan gol.

Jika kita menentang pasukan yang kuat, kita tidak akan dapat peluang sebanyak ini, dan jika kita terlepas peluang seperti malam ini, kita akan menderita.”

Tambah Pan-gon, beliau tidak menjangkakan Malaysia akan menguasai perlawanan dari awal hingga akhir pada malam ini kerana sedar Solomon Islands berada di ranking yang lebih tinggi.

Katanya, jika diukur daripada perlawanan tersebut, Malaysia sepatutnya berada di ranking lebih tinggi daripada sekarang.