Saya akan terus kekal di JDT, muktamad – Safawi Rasid

861

Pemain kebangsaan, Safawi Rasid menegaskan bahawa beliau akan terus kekal di Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas pulang dari pinjaman di kelab Thailand, Ratchaburi FC.

Jelasnya, walaupun terdapat kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya, keputusannya untuk kekal di JDT adalah muktamad.


“Lepas balik dari Thailand ini saya akan kekal di JDT, ia keputusan muktamad,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya destinasi beliau seterusnya selepas kembali ke Malaysia.

Dalam pada itu, beliau mengakui latihan berintensiti tinggi di JDT berjaya membantunya mengekalkan prestasi sehingga berjaya menyumbang satu gol dalam kemenangan 4-1 ke atas Solomon Islands sebentar tadi.

Beliau mendedikasikan gol tersebut kepada isterinya, Syifa Melvin yang kini hamil enam bulan.

“Apabila pulang ke JDT dari Thailand, saya berlatih kira-kira sebulan dengan intensiti yang tinggi, sebelum dan selepas sesi latihan pun ada buat latihan tambahan sendiri.

Jadi ia membantu saya kekalkan prestasi saya, kerana di Thailand pun ada perlawanan yang saya turun dan ada yang tidak.”

Safawi berkata beliau amat gembira dengan gol tersebut selepas kali terakhir menjaringkan gol buat Harimau Malaya ketika menentang Bangladesh tahun lalu.

Beliau juga memuji usaha yang diberikan oleh rakan-rakan sepasukannya yang turut membantunya pada malam ini.