Paulo Josue sedia ambil tanggungjawab sebagai penyerang tetap Harimau Malaya

498

Penyerang Harimau Malaya, Paulo Josue tidak kisah jika terus diberi tanggungjawab sebagai penyerang oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon dalam perlawanan akan datang.

Katanya, walaupun posisi itu bukanlah posisi asalnya, beliau gembira menggalas tanggungjawab itu jika Pan-gon merasakan dirinya boleh membantu pasukan sebagai seorang penyerang.


“Kebiasaannya dengan KL City saya tidak main di posisi itu, ada beberapa kali saya main sebagai penyerang di bawah Bojan Hodak tetapi saya bukan seorang penyerang.

Tetapi saya tidak kisah jika jurulatih rasa saya boleh bantu pasukan di posisi itu, tiada isu bagi saya,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas kemenangan 4-1 ke atas Solomon Islands di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebentar tadi.

Josue mengakui beliau melepaskan beberapa peluang dalam perlawanan itu dan berharap akan menampilkan aksi yang lebih berbahaya jika diberi peluang selepas ini.

“Pemain sayap banyak buat percubaan malam ini tapi saya tak berjaya manfaatkan, saya hanya berjaya jaringkan satu gol.

Selepas ini jika saya diturunkan sebagai penyerang lagi saya harap boleh jaringkan lebih banyak gol.”

Walaubagaimanapun, beliau berkata dari sudut positif, ia bermakna Malaysia berjaya mencipta banyak peluang dan menunjukkan persefahaman antara pemain begitu baik.