Penyokong Malaysia menakjubkan, anda beruntung ada atmosfera seperti ini – Felipe Vega Arango

2,189

Ketua jurulatih Solomon Islands, Felipe Vega Arango memuji atmosfera di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada malam ini, dan menyifatkan para penyokong Malaysia sebagai menakjubkan.

Katanya, semangat yang ditunjukkan oleh para penyokong membuatkan ada pemainnya yang gementar sebelum perlawanan sebentar tadi.


“Penyokong pada malam ini menakjubkan, anda semua beruntung kerana ada atmosfera yang baik seperti ini.

Sebelum perlawanan saya tanya kepada para pemain berapa kali mereka melihat atmosfera seperti ini dan mereka jawab tidak pernah, hari ini ada dua pemain yang melakukan debut dan mereka agak gementar kerana tak pernah melihat atmosfera seperti ini,”

katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas perlawanan persahabatan menentang Malaysia yang menyaksikan pasukannya tewas 4-1.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan bahawa perbezaan pemain amatur dan profesional dapat dilihat pada malam ini, dan berkata banyak perkara yang perlu dilakukan untuk menaikkan bola sepak di negara itu.

“Dalam pasukan saya hanya ada seorang pemain profesional manakala kesemua pemain Malaysia pula adalah profesional, kita dapat lihat perbezaan antara tahap amatur dan profesional malam ini.

Saya percaya skuad ini ada masa depan kerana ramai pemain muda berbakat di dalamnya tetapi banyak perkara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap bola sepak di Solomon Islands.”

Arango mengakui Malaysia bermain dengan lebih baik dan layak menang pada perlawanan tersebut.

Beliau bagaimanapun memuji penjaga golnya, Phillip Mango yang memastikan Malaysia tidak berjaya menambah jaringan.