‘Top 2’ Liga M3 bertembung dengan dua gergasi Pantai Timur di Piala Malaysia 2023

619

Laluan sukar buat dua pasukan daripada Liga M3 dalam saingan Piala Malaysia apabila dijadualkan bakal bertemu dua gergasi Pantai Timur iaitu Sri Pahang FC (SPFC) dan Terengganu FC (TFC).

Piala Malaysia 2023 kini telah kembali dengan format yang baru selain daripada kemunculan sulung kejohanan Piala Cabaran yang bakal memberikan lebih banyak aksi dalam kalender bola sepak Malaysia tahun ini.


Semalam telah berlangsungnya undian yang memperlihatkan pasukan yang bakal bermain bermula daripada pusingan ke-16 yang mana setiap perlawanan akan dijalankan secara timbal balik dan dalam format terbaharu ini juga memberikan peluang bagi lapan pasukan yang terkandas untuk ke suku akhir turun bermain di Piala Cabaran.

Tertarik dengan undian kali ini, dua slot yang diberikan buat dua pasukan teratas Liga M3 bakal bertembung dengan dua pasukan gergasi Sri Pahang dan Terengganu FC yang kini masing-masing menampilkan rentak konsisten dalam mengejar kelompok teratas liga.

Dengan berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi kedudukan dua teratas itu masih menjadi tanda tanya buat Liga M3 kerana pasukan akan dipilih selepas perlawanan ke-13 berakhir yang mana masih berbaki lagi lebih kurang tiga minggu sahaja lagi.

Namun SPFC dan TFC seharusnya berhati-hati dan tidak terlampau memandang rendah kerana mereka belum pernah bertemu dengan pasukan-pasukan ini dan sekiranya tidak berhati-hati pasti akan memakan diri.

Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat mempunyai laluan mudah apabila bakal bertemu dengan pasukan Kelantan FC pada perlawanan pertama mereka dan sekiranya mereka layak ke pusingan seterusnya, Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kelantan United FC (KUFC) menanti.

Hal ini mungkin tidak menjadi penghalang buat pasukan Harimau Selatan itu apabila dalam perlawanan liga pusingan pertama dahulu mereka telah membenam pasukan-pasukan tersebut dengan skor 5-1 namun perlu juga berhati-hati kerana kali ini setiap permainan dimainkan secara timbal balik serta apa sahaja boleh berlaku.

Selain itu, PDRM FC yang digembar gemburkan sebagai skuad penghancur pasukan-pasukan besar di Liga Super kini akan berdepan dengan Selangor FC.

Baru-baru ini, PDRM pada perlawanan di minggu ke-13 menunjukkan belangnya apabila telah menewaskan pasukan Selangor itu dengan skor 1-0 namun ia tidak menjanjikan apa-apa kerana di Piala Malaysia pelbagai cerita boleh tercipta.

Berdasarkan keseluruhan undian yang dibuat itu, ada beberapa pasukan lagi yang boleh dikatakan menjadi duri dalam daging bagi mencuri piala berprestij itu daripada pasukan-pasukan pilihan.

Dalam sesi undian tadi juga, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam meluahkan harapannya agar aksi Piala Malaysia dan Piala Cabaran ini memberi keseronokan buat para penyokong yang menyaksikannya.