Mungkin sebulan dua lagi proses dokumentasi Richard Chin siap – Hamidin Mohd Amin

331

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu proses dokumentasi pemain warisan Richard Chin berkemungkinan akan siap dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Beliau bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sudah berapa peratus proses dokumentasi itu ketika ini.


“Yang saya tahu Richard Chin kini dalam proses. Berapa peratus itu saya tidak dapat beritahu kerana ia diuruskan oleh pihak yang berkenaan, tapi apa yang saya tahu proses dokumentasi itu sedang dibuat.

Jadi saya tak pasti bila beliau akan dapat (kad pengenalan/passport) tapi mungkin dalam sebulan dua lagi, mungkinlah,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Manakala proses dokumentasi untuk pemain lain seperti Kobe Jae Chong, Wan Kuzain dan Wan Kuzri beliau masih belum dapat maklumat mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Hamidin juga sempat mengulas mengenai kekalahan pasukan kebangsaan B-17 kepada Yemen 4-0 dalam perlawanan Kumpulan A Piala Asia B-17 2023 di Bangkok, Thailand.

Hamidin masih meletak keyakinan tinggi terhadap pemain Osmera Omaro untuk bangkit dalam dua lagi perlawanan.

“Saya tak sangka kita akan kalah perlawanan pertama. Pasukan ini kita buat persiapan awal iaitu selama dua tahun termasuk kita menghantar mereka ke Qatar untuk berlatih dan juga mengadakan perlawanan persahabatan.

Tapi itu yang terjadi, namun saya berharap mereka akan bangkit menentang Thailand nanti.”

Skuad Harimau Muda kini berdepan tugas sukar apabila perlu menang dalam baki dua perlawanan menentang Thailand dan Laos sekiranya mahu ke peringkat seterusnya.

Terdahulu, skuad ini dikatakan antara skuad yang mampu mencipta sejarah ke Piala Dunia B-17 2023 sekiranya mereka mampu berjaya layak ke separuh akhir Piala Asia.