Saya setuju kalau kita nak ambil pemain naturalisasi, pemain itu perlu ada ‘class’ – Hamidin Mohd Amin

351

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa pihaknya sudah pun menghentikan program naturalisasi selepas dua pemain program itu gagal memberikan impak kepada pasukan kebangsaan.

Hamidin bagaimanapun bersetuju dengan pendapat para peminat yang mahu pemain yang ingin dinaturalisasi adalah pemain berkualiti.


“Saya setuju kalau kita nak ambil pemain naturalisasi, pemain itu perlu ada ‘class’ dan betul-betu bermutu.

Tapi sekali lagi saya jelaskan bahawa kelab mempunyai hak juga untuk menaturalisasi pemain. Seperti yang saya katakan tadi hak untuk mendapatkan passport adalah pihak lain dan untuk FIFA ada prosedurnya tersendiri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut menjelaskan bahawa FAM juga serius dan mahu memberi fokus untuk pemain tempatan untuk pergi ke tahap tertinggi.

Dalam pada itu, Hamidin turut memberi perkhabaran gembira buat Ekor Harimau Malaya yang ingin terbang ke Doha, Qatar untuk memberi sokongan kepada pasukan Harimau Malaya di kejohanan Piala Asia 2023 pada Januari 2024 nanti.

Menurutnya, beliau sudah pun mengadakan perbincangan dengan Menteri Belia dan Sukan (KBS) YB Hannah Yeoh bagi mencari jalan terbaik untuk memudahkan urusan penyokong yang berhasrat mahu ke Piala Asia.

“Perlu kita ingat usaha ini diusahakan oleh saya dan YB Hannah Yeoh untuk pastikan kami akan mengadakan pertemuan bersama MAS kerana mereka adalah penaja kuat kami, jadi  perbincangan itu nanti untuk menyenang dan memudahkan urusan penyokong di sanan nanti.”

Malah Hamidin juga memberitahu beliau sudah berhubung dengan duta Malaysia di Qatar untuk membantu bagi mencari tempat penginapan untuk penyokong tinggal dengan harga yang berpatutan.

Piala Asia 2023 akan berlangsung dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024 yang mana pasukan kebangsaan berada dalam Kumpulan A bersama pasukan gergasi Korea Selatan, Bahrain dan Jordan.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen