Bagi saya yang memegang fahaman ultras, flare sangat perlu – Lekir

568

Suar atau lebih dikenali sebagai flare merupakan antara ‘alat’ paling penting dan sinonim dengan penyokong tegar bola sepak di seluruh dunia kerana kehadiran mereka bersama suar sering menjadi perhatian.

Bagi penyokong, suar adalah satu bentuk ‘seni’ ketika mereka bersorak untuk pasukan kesayangan mereka beraksi.


Bagaimanapun penyokong di Malaysia tidak dapat berkarya dengan suar apabila pihak berkuasa dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengharamkan penyokong membakar suar apabila berada di dalam stadium atas sebab keselamatan.

Namun bagi Capo Ultras Malaya, Mohd Ridzuan ‘Lekir’ Haji Ahmad pula beliau berfikiran sebaliknya dan berharap agar pembakaran suar di dalam stadium ‘dihalalkan’.

“Bagi saya yang memegang fahaman ultras, flare sangat perlu. Ultras itu sendiri bukannya orang yang tiada otak, kita tahu masa bila nak bakar suar, posisi mana sesuai, jadi bagi saya halalkan suar,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah Capo lagi, beliau turut menjelaskan bahawa pihaknya sendiri akan menguruskan segala urusan bakar suar termasuk memastikan tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.

“Bahagian ultras di mana-mana stadium pun mereka berada di tempat yang jauh dari penyokong yang membawa keluarga.

Malah saya sendiri akan pastikan mana-mana ultras tidak akan membakar suar ketika perlawanan berlangsung. Kita hanya akan bakar suar di luar stadium sebelum perlawanan dan selepas tamat perlawanan.”

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menyedari dengan permintaan ultras untuk membenarkan suar dibakar di dalam stadium dan menyatakan bahawa Pengerusi Malaysian Football League (MFL), Dato’ Ab Ghani Hassan akan menyusulkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

“Kita kena lihat dari SOP-nya samada dibenarkan semasa perlawanan atau pun sebelum perlawanan tapi perlu melihat dari segi keselamatan penyokong yang datang ke stadium atau di mana tempat yang ingin dibakar dan pihak berkuasa benarkan atau tidak.

Jadi Dato’ Ab Ghani dah bersetuju untuk bawakan usul ini kepada pihak polis dan keselamatan.”