KTC Arena ketengahkan konsep pelancongan sukan, pemain hanya perlu bawa but sahaja

251

Dengan lambakan padang bola sepak yang semakin banyak dibangunkan di seluruh negara bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, sebuah padang yang terletak di Kuala Terengganu, KTC Arena membuat kelainan dengan mengetengahkan konsep pelancongan sukan.

Penyelaras KTC Arena, Zulhusmi berkata, lokasi padang tersebut yang dekat dengan Pantai Batu Buruk dan tarikan lain seperti Jambatan Angkat Kuala Terengganu menjadikan ia tarikan buat orang ramai.


“Secara rasminya KTC Arena telah beroperasi pada 15 Mac 2022, dan sambutan yang diberikan adalah luar jangkaan kami, apabila kami buka slot untuk tempahan memang cepat habis.

Kita ketengahkan konsep pelancongan sukan di mana padang ini berdekatan dengan Pantai Batu Buruk, drawbridge dan banyak lagi, jadi sambil bermain bola boleh bawa keluarga bersiar-siar di tarikan pelancong berdekatan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, ramai juga pelanggan yang datang untuk bermain di KTC Arena selepas bersiar-siar di pulau yang terdapat di negeri itu.

Tambahnya, sebagai seorang yang juga gemar bermain bola sepak, beliau tahu keperluan seorang pemain jadi beliau mahu memastikan mereka yang bermain di KTC Arena datang tanpa perlu memikirkan kelengkapan.

“Kita fikir apa yang memudahkan pemain apabila datang, mereka hanya perlu bawa but sahaja dan terus main.

Di sini kita ada sediakan segala-galanya daripada bola bertaraf bola rasmi perlawanan, pengadil, air minuman, jersi dan lain-lain.”

Zulhusmi berkata, pihaknya turut mementingkan kualiti padang untuk keselesaan pelanggan dengan memastikan padang diselenggara dengan baik mengikut waktu.

Beliau juga berkata bahawa mereka merancang untuk menambah sebuah lagi padang bersebelahan dengan padang sedia ada, selain mempunyai perancangan untuk melebarkan sayap ke seluruh negara.