Pemain tak turun latihan, Kelantan FC ‘collect’ pemain nak lawan Sri Pahang FC

115

Kelantan FC terpaksa ‘collect’ pemain luar untuk meneruskan perlawanan pembukaan pusingan kedua Liga Super menentang pasukan Sri Pahang FC pada 23 Jun ini.

Baru-baru ini tersebar berita berkenaan pasukan The Red Warrior yang turun ke sesi latihan sebelum memulakan pusingan kedua Liga Super nanti namun hanya 13 pemain sahaja yang berlatih.


Hal ini telah mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat mengenai apa yang sedang berlaku dalam kem pasukan itu dan sekiranya benar, bagaimana mereka hendak turun beraksi dengan hanya 13 pemain?

Menerusi satu kongsian di laman twitter @Twtbolakelate, para peminat mula berdiskusi tentang perkara ini dan yang menarik perhatian apabila salah seorang pengikut telah berkongsi satu senarai nama untuk mereka yang berminat bermain dengan Kelantan menentang Tok Gajah itu nanti.

Perkara ini tidak seharusnya terjadi kepada pasukan berstatus gergasi Pantai Timur itu yang mana suatu ketika dahulu pernah menjadi rebutan para pemain untuk bermain di kelab tersebut.

Dalam itu, sekiranya perkara ini terus berlaku dalam tempoh beberapa minggu menjelang jendela perpindahan Julai ini maka mereka perlu membawa masuk pemain semaksimum yang mungkin untuk mengisi semula ruang yang ditinggalkan para pemain sebelum ini.

Namun jangan pula dilupa, setiap pemain yang dibawa masuk sudah pasti akan menambah perbelanjaan atau tanggungan kelab tersebut yang kini sudah sedia terpalit dengan beberapa isu kewangan.

Hal ini secara tidak langsung bakal membuatkan pemain-pemain yang dilamar untuk bermain bersama kelab itu akan berfikir dua tiga kali kerana gusar bakal menerima nasib yang sama.

Pada masa sama, jika mereka berjaya membawa masuk pemain baru ia tetap tidak menjamin kemenangan dalam setiap perlawanan kerana setiap pemain perlukan masa untuk mendapatkan keserasian antara rakan sepasukan termasuk memahami kehendak ketua jurulatih.

Oleh itu, pemilik kelab Norizam Tukiman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham perlu melihat perkara ini dengan lebih mendalam dan realistik supaya kelan dapat keluar dari zon tercorot liga.

Kelantan bernasib baik kerana pada musim ini tiada penyingkiran akan berlaku kerana saingan Liga Perdana telah ditunda.