Tekanan akan jadikan kita lebih baik! Saya percaya pada itu – Syamer Kutty Abba

154

Pemain tengah kebangsaan, Syamer Kutty Abba memberitahu tekanan dalam bola sepak adalah perkara biasa terutamanya apabila menyarung jersi pasukan Harimau Malaya, namun beliau tidak menganggap ia sebagai satu perkara negatif.

“Setiap kali pakai jersi Malaysia ia satu tekanan buat kami tapi itu adalah hidup kami jadi kami ambil tekanan itu sebagai satu benda yang baik untuk kami terus push dan bukan sebagai tekanan untuk menjatuhkan kami.

Untuk saya ini adalah perkara biasa berdepan tekanan dan tekanan akan jadikan kita lebih baik. Saya percaya pada itu,”

katanya.

Syamer pada masa sama turut menghormati pandangan dan kritikan daripada peminat kerana percaya pasukan sentiasa akan boleh memperbaiki segala kelemahan.


Disebalik pandangan dan kritikan daripada peminat, beliau percaya bahawa peminat akan sentiasa berada di belakang mereka tidak kira waktu menang atau pun kalah.

Dalam pada itu, Syamer yang dinobat sebagai pemain terbaik pada perlawanan menentang Kepulauan Solomon tidak membuatkan dirinya berasa selesa, sebaliknya beliau merasakan masih ada yang boleh diperbaiki.

“Untuk saya, permainan saya selalu ada ruang untuk penambahbaikan. Bagi saya setiap perlawanan adalah tempat untuk saya belajar dan perkara ini tidak akan berhenti sampai habis karier saya, jadi saya akan berpuas hati.

Saya tahu setiap perlawanan saya akan buat yang lebih baik untuk memikat hati jurulatih dan mahu beri yang terbaik apabila menyarung jersi negara.”

Pada perlawanan pertama persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kepulauan Solomon, skuad negara berjaya menang 4-1.

Sementara itu, anak buah Pan-gon kini sedang membuat persiapan bagi menghadapi perlawanan persahabatan kedua menentang Papua New Guinea.

“Kita jangka perlawanan nanti bukan perlawanan yang mudah kerana kita tahu pasukan lawan akan memberikan aksi terbaik mereka, jadi kita akan bermain dengan apa yang diterapkan oleh jurulatih dan kita akan pergi ke perlawanan nanti dengan lebih bersedia.”

Perlawanan menentang Papua New Guinea akan berlangsung pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.