Osmera Omaro dedah seorang lagi ‘key player’ alami ‘concussion’

413

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan B-17, Osmera Omaro memberitahu beliau kehilangan seorang lagi pemain tonggak utama akibat mengalami kecederaan gegaran pada perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Asia B-17 menentang Yemen baru-baru.

Kecederaan terbaru itu menjadikan Osmera kehilangan empat tonggak utama dengan tiga tonggak utama mengalami kecederaan sebelum mereka berlepas ke Bangkok, Thailand untuk menyertai kejohanan ini.


“Kita ada satu lagi ‘key player’ yang akan keluar dari kejohanan ini akibat ‘concussion’ dan ini bermakna ini adalah pemain tonggak utama keempat tidak ada dalam kejohanan dan ini pastinya akan memberi impak pada pasukan.

Bagaimanapun kita akan buat yang terbaik dengan pemain yang ada dan pemain-pemain kekal bersemangat,”

katanya.

Selepas tewas pada perlawanan pertama, skuad Harimau Muda kini dalam misi wajib menang untuk baki dua perlawanan iaitu menentang Thailand dan Laos untuk mencerahkan peluang mereka untuk mara ke peringkat suku akhir.

Dalam pada itu, Osmera juga menyuarakan keyakinannya terhadap anak buahnya untuk mendapatkan keputusan positif sekiranya mereka dapat bermain pada tahap sebenar mereka selain mengurangkan kesilapan mudah.

“Lagi sekali saya kata, kalau pemain boleh bermain dengan penuh keyakinan dan dapat sempurnakan peluang yang ada, dan kurangkan kesilapan-kesilapan individu yang mudah kita masih ada peluang.”

Selain misi menang dalam dua perlawanan terakhir, skuad negara juga menyasar untuk cuba mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir untuk mengesahkan slot ke Piala Dunia B-17 2023 yang akan berlangsung pada November depan.

Sementara itu, bagi Aisy Al-Hakim Nasnizam pula beliau memberitahu bahawa mereka sudah pun melupakan kekalahan kepada Yemen baru-baru ini dan fokus mereka ketika ini adalah untuk perlawanan menentang Thailand esok.

“Kami sudah reset minda untuk perlawanan menentang Thailand dan kami semua juga menjalani latihan yang cukup.

Kami mahu buat yang terbaik supaya misi untuk mendapatkan kemenangan dan tiga mata berjaya dilaksanakan.”