Keputusan undian tak penting jika kita mahu jadi pasukan terbaik – Cameron Ng

166

Ketua jurulatih Malayan Tigress B-19, Cameron Ng tidak kisah dengan keputusan undian Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 yang berlangsung sebentar tadi kerana apa yang penting adalah untuk buktikan bahawa mereka adalah pasukan terbaik.

“Bagi saya jika cita-cita kami untuk menjadi salah sebuah pasukan di Asia Tenggara, keputusan undian tidak penting dan dalam kumpulan mana pun kami berada, kami perlu buktikan yang kami adalah yang terbaik.

Jadi bagi saya sekarang ini, saya tidak melihat sangat pada keputusan undian sebaliknya saya mahu melihat bagaimana kami akan beri reaksi dari segi persembahan pemain,”

katanya.

Cameron berkata demikian selepas Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Vietnam dan Singapura.


Dalam pada itu, beliau berkata sasarannya untuk kejohanan Piala AFF edisi kali ini adalah untuk melihat peningkatan prestasi dari edisi lalu.

“Sasaran kami letakkan adalah untuk lihat peningkatan dari kejohanan sebelumnya dan kita bergerak ke arah yang betul.

Kejohanan demi kejohanan kita nampak peningkatan dari pemain-pemain, itu sasaran yang saya letak untuk kejohanan kali ini.”

Skuad negara kini sedang menjalani kem latihan pusat yang bermula sejak 17 Jun ini dan akan memulakan kempen Kejuaraan Wanita B-19 AFF yang akan berlangsung di Palembang, Indonesia dari 5 hingga 15 Julai ini.