Sudah 10 tahun main untuk Malaysia, nak buktikan apa lagi – Junior Eldstal

1,567

Pemain pertahanan negara, Junior Eldstal memberitahu beliau tetap berasa teruja dan bangga setiap kali mendapat panggilan untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan Malaysia.

“Saya sudah 10 tahun bermain untuk Malaysia dan setiap kali dapat panggilan untuk sarung jersi Malaysia perasaan sama tetap sama seperti mula-mula dahulu iaitu teruja, gembira dan sangat bangga dapat mewakili negara,”

katanya.

Junior berkata beliau sentiasa akan memberikan komitmen 100% apabila diturunkan dan akan sentiasa cuba bantu pasukan.


“Saya sudah 10 tahun main untuk Malaysia, nak buktikan apa lagi? Seperti yang saya katakan tadi saya sudah lama bermain untuk negara dan semua tahu apa yang saya boleh bawa bila saya main untuk negara.

Setiap perlawanan saya akan berikan 100%. Hubungan saya dengan ketua jurulatih ketika ini dan terdahulu masih baik di dalam dan juga di luar padang jadi saya punya pengalaman untuk bantu pemain-pemain muda dalam pasukan ini.”

Beliau pada masa sama turut berkata kemampuannya untuk bertutur dalam Bahasa Malaysia juga memudahkan komunikasi di antara pemain tempatan dan pemain naturalisasi.

Pemain berusia 31 tahun itu dijangka akan diturunkan dalam perlawanan kedua persahabatan Tier 1 menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini.

Dalam pada itu, beliau yang ditanya hala tujunya selepas tempoh pinjamannya bersama kelab PT Prachuap FC di Thai League 1 tamat enggan mengulas lanjut kerana mahu memberi tumpuan pada pasukan kebangsaan.

“Sekarang ini fokus saya hanya pada pasukan kebangsaan kerana itu yang paling penting ketika ini.”

Sementara itu, Junior turut sempat mengulas mengenai kritikan segelintir peminat apabila mempersoal mengapa ada pemain yang tidak boleh menyanyikan lagu Negaraku pada perlawanan menentang Kepulauan Solomon baru-baru ini.

“Macam mana mereka tahu yang mereka tak boleh menyanyi?Mungkin suara dia sakit ke apa,”

selorohnya.