Papua New Guinea ‘tempang’ tanpa Tommy Semmy berikutan tak dilepaskan kelab

1,876

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan Papau New Guinea, Harisson Kamake berasa sedikit kecewa apabila tidak dapat membawa penyerang sensasi mereka Tommy Semmy berikutan pemain itu tidak dilepaskan oleh kelabnya.

“Untuk perlawanan ini kami tidak dapat menyenaraikan Tommy dalam skuad walaupun kami sememangnya mahukannya kerana kelab beliau tidak mahu melepaskannya, jadi kami akan gunakan pemain yang ada untuk perlawanan menentang Malaysia nanti,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Semmy merupakan pemain yang bermain untuk kelab Dandenong City SC di liga divisyen dua Australia, NPL Victoria 2.


Selain Semmy, seorang lagi pemain Kapuls iaitu David Browne yang bermain di Finland bersama Klubi 04 turut tidak dilepaskan oleh kelabnya walaupun dalam kalendar FIFA. Dalam pada itu, Kamake menyedari pasukan lawan lebih baik dari kedudukan ranking dunia tetapi pasukannya tidak mahu terlalu menghormati pihak lawan sebaliknya datang untuk memberi saingan.

“Ya, kami menghormati pasukan Malaysia yang berada di kedudukan yang lebih baik daripada kami, tapi kami datang ke sini untuk bermain bola sepak walaupun sedar ia sukar.”

Sementara itu, beliau turut memuji layanan yang cukup baik daripada pihak tuan rumah yang bukan sahaja menyediakan tempat tinggal yang selesa, tetapi juga tempat latihan yang berkualiti.

Papua New Guinea dijadual akan menentang pasukan Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).