Kehebatan TSG tarik puluhan pelumba profesional untuk bernaung di bawah pasukan itu

940

Sebut sahaja TSG pastinya perkara pertama yang akan muncul di fikiran adalah pasukan berbasikal terkenal Terengganu Polygon Cycling Team yang mana ia bukan sahaja terkenal di Malaysia tetapi juga di dunia.

Pelbagai kejayaan yang diperoleh oleh TSG sejak penubuhannya pada tahun 2011 termasuk berjaya menjadi juara Asia sebanyak tiga kali, naib juara sekali dan pada tahun 2019 berjaya menjadi pasukan terbaik di dunia daripada 170 pasukan.


Dengan reputasi yang cukup besar dalam dunia sukan basikal lebuhraya membuatkan pasukan ini menjadi tumpuan dan setiap tahun lebih 70 pelumba profesional dari seluruh dunia membuat permohonan untuk bernaung di bawah TSG.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi (COO) TSG iaitu Nasiruddin Bin Wan Idrus yang memberitahu bahawa menerusi permohonan itu mereka tidak menggunakan langsung ejen untuk mencari pelumba.

“Bagi pelumba-pelumba terutamanya import, kita sebenarnya menerima permohonan dari seluruh dunia di mana setiap tahun kita terima lebih 70 permohonan untuk mewakili TSG daripada pelumba profesional.

Daripada situ, ia menjadi salah satu sumber untuk kita dapatkan pelumba kerana kita di TSF kita tidak menggunakan ejen kerana kos akan menjadi tinggi sekiranya menggunakan ejen (orang tengah),”

katanya kepada Harimau Malaya.

Selain dari permohonan daripada pelumba profesional di seluruh dunia, Nasiruddin atau lebih mesra dengan panggilan Che Din berkata pihaknya juga sentiasa melihat prestasi pelumba-pelumba di kejohanan yang mana sekiranya pelumba itu bagus dan mempunyai potensi, pihaknya akan menandatangani kontrak dengan pelumba tersebut.

Ketika ini, TSG mempunyai 16 pelumba di bawah naungan mereka dengan tujuh daripada adalah pelumba import dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Ukraine, Eritea, Ireland, Algeria, Netherlands dan Mongolia, dan selebihnya adalah pelumba tempatan yang majoritinya adalah pelumba dari Terengganu sendiri.

“Pengambilan pelumba-pelumba import ini bukan sahaja berdasarkan prestasi tetapi juga berdasarkan pemasaran yang mana negara-negara yang kita nk promosi pasukan kita dan secara langsung kita turut mempromosi penaja kami.”

Tambahnya lagi, TSG tidak sahaja melibatkan diri dalam pelumbaan basikal tetapi juga melibatkan diri secara keseluruhan dalam industri.

“Penglibatan kita dalam sukan secara keseluruhan dalam industri yang merangkumi industri sukan, industri pelancongan dan apa-apa industri yang berkaitan dengan berbasikal. Tak ada pasukan profesional di Asia yang mengadakan program-program seperti ‘fun ride’ tapi di TSG itu adalah satu tanggungjawab kita kepada industri dan pelancongan di Terengganu.”

Dalam pada itu, tidak hanya mempunyai pelumba profesional, TSG juga mempunyai akademinya yang dikenali sebagai TSG Cycling Academy yang mana ia diwujudkan bagi mengumpulkan bakat-bakat pelumba yang dihasilkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Terengganu.

“Jadi kita pilih untuk diserap ke akademi dan kita bayar elaun, bagi kelengkapan seperti pelumba profesional dan kita pastikan pelumba-pelumba yang kita pilih program akan menjadi feeder kepada pasukan TSG dan pasukan-pasukan profesional di Malaysia.

Tidak semestinya pelumba-pelumba yang digilap di akademi hanya dibenarkan mewakili TSG sahaja tapi mereka dibenarkan untuk mewakili negara dan mana-mana pasukan profesional yang berminat dengan mereka.”

Jelas Che Din lagi, TSG Cycling Academy adalah platform baru untuk pelumba mencipta nama di peringkat lebih tinggi lagi.

Sementara itu, beliau turut memberitahu perancangan TSG untuk membina sebuah pusat ‘one stop centre’ yang akan dikenali sebagai Kompleks TSG.

Kompleks tersebut yang akan dibina bersaiz pusat beli-belah itu akan mempunyai fasiliti latihan lengkap, pejabat, bilik seminar, dewan, kedai dan sebagainya.

Malah kompleks tersebut akan mempunyai asrama untuk pelumba-pelumba akademi yang akan tinggal di situ untuk berlatih.

Beliau berkata kompleks tersebut adalah salah satu perancangan dalam jangka masa lima tahun yang mana ia telah pun digerakkan sejak April.

Oleh itu, berharap agar perancangan untuk mewujudkan fasiliti moden dan canggih ini dapat menjadi kenyataan tidak lama lagi.