Kami cadang mahu tukar ‘line up’ untuk perlawanan menentang Papua New Guinea – Kim Pan-gon

1,634

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon memberi bayangan bahawa beliau akan melakukan sedikit perubahan dari segi barisan pemain yang akan diturunkan menentang Papua New Guinea esok.

Menurut Pan-gon, ketika ini beliau dan barisan kejurulatihan sedang menilai keadaan beberapa pemain untuk melihat samada mereka cergas sepenuhnya untuk diturunkan atau tidak.


“Beberapa pemain boleh dipertimbangkan samada akan diturunkan atau lebih baik kami lindungi mereka, jadi pada sesi latihan hari ini kami akan melihat dan buat keputusan.

Pemain lain semuanya berada pada tahap terbaik dan kami bercadang untuk menukar ‘line up’ untuk melihat adakah mereka kompetitif atau tidak. Ia akan jadi satu eksperimen yang bagus untuk kami,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Perubahan yang akan dilakukan akan mewujudkan lagi persaingan sihat antara pemain-pemain.

Tambahnya lagi, beliau menuntut pemain-pemainnya meneruskan falsafah yang diterapkannya dan terus menguasai perlawanan, agresif dan terus mencipta peluang yang banyak seperti perlawanan menentang Kepulauan Solomon.

“Sekarang kami meletakkan dua pemain di setiap posisi dan berharap kami dapat letak tiga pemain supaya setiap pemain dan sesiapa sahaja dapat bermain. Ia adalah penting untuk pemain bersaing untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.”

Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan itu juga enggan memandang ke belakang selepas skuad negara sebelum ini pernah tewas 2-1 pada perlawanan menentang Papua New Guinea pada tahun 2016.

Mengakui prestasi yang dipamerkan oleh pasukan itu ketika mereka berjaya seri 2-2 dengan Singapura baru-baru ini lebih baik dari jangkaannya, namun ia sedikit pun tidak menjejaskan persiapan pasukan.

“Prestasi Papua New Guinea lebih dari jangkaan kami apabila mereka berjaya seri dengan Singapura dan prestasi mereka setaraf Kepulauan Solomon, tapi itu tidak penting kerana kami fokus untuk menang dan teruskan ‘habit’ kemenangan di tempat sendiri.”

Malaysia akan menentang Papua New Guinea dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin esok.