Melaka United FC ni kebal dari tindakan ke?

352

Setiap musim Liga Malaysia pasti akan timbul isu masalah gaji dari beberapa pasukan dan salah satu pasukan itu adalah Melaka United FC yang sehingga kini masih dibelenggu isu tersebut.

Terbaru bekas pemain pertahanan Melaka, Khairul Helmi mendedahkan beliau masih lagi menunggu tunggakan gajinya selama empat bulan yang sehingga kini masih belum dilunaskan.


Khairul Helmi berkata bukan dirinya sahaja yang berdepan masalah gaji, tetapi ramai lagi pemain Melaka berdepan masalah sama.

Sumber foto: Melaka United FC Facebook

Malah Persatuan Pemain Bola Sepak Malaysia (PFAM) turut mengeluarkan kenyataan menuntut Melaka menyelesaikan tungakan gaji pemain skuad utama dan skuad Piala Presiden selewat-lewatnya 19 Januari ini.

Tetapi apa yang menghairankan peminat bola sepak adalah mengapa masih ada isu tunggakan gaji sedangkan baru-baru ini Melaka baru sahaja mendapat suntikan dana lebih RM20 juta untuk memperkuat skuad.

Malah mereka juga mahu membawa masuk pemain berstatus bintang untuk memastikan impian mereka pada musim ini berada dalam kedudukan tiga terbaik tercapai.

Media sosial rasmi Melaka juga dilihat sedang rancak menimbulkan keterujaan peminat mereka dengan perkembangan terbaru pemain-pemain baru tempatan dan juga import.

Apa yang sebenarnya terjadi dalam pengurusan Melaka? Mereka sedar atau tidak mereka mempunyai banyak tunggakan gaji pemain musim lalu yang masih belum diselesaikan? Atau mereka mahu diamkan saja isu ini?

Ini bukanlah kali pertama kerana Melaka ini agak terkenal di kalangan peminat bola sepak sebagai pasukan paling banyak masalah gaji pemain sehingga mereka pernah ditolak mata berikutan isu tersebut.

Bagaimanapun pihak pengurusan Melaka tampak seperti tidak ambil pengajaran langsung, sebaliknya terus melakukan perkara sama setiap musim.

Tetapi perkara yang paling ‘pelik bin ajaib’ adalah pasukan Melaka dilihat seperti kebal dari sebarang tindakan berat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) apabila pasukan itu masih mendapat lesen untuk bersaing dalam Liga Malaysia.

Jangan salah faham kerana bukan Melaka sahaja yang selalu berdepan masalah tungakkan gaji kerana pasukan lain tidak terkecuali antaranya Kedah Darul Aman FC (KDA FC) turut berdepan isu sama tetapi telah diselesaikan.

Manakala Perak FC juga berdepan perkara sama pada pertengahan musim lalu sehingga menyebabkan hampir separuh pemain utama meninggalkan pasukan itu yang akhirnya membawa mereka jatuh ke Liga Perdana.

Isu gaji ini dijangka akan terus berlarutan lagi sehingga musim ini apabila melihat persiapan beberapa pasukan yang berbelanja tinggi untuk mendapatkan pemain bintang.

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat saja samada isu gaji ini akan mula timbul pada awal musim, pertengahan atau di penghujung musim.