Tekak KPG tiada masalah hadam durian ‘black thorn’, senjata rahsia bawa Malaysia catat kemenangan besar

651

Kim Pan-gon dan pasukan kejurulatihan Malaysia sempat bersama-sama merasa durian jenis ‘black thorn’ yang diberikan oleh peminat selapas tamat sesi latihan terakhir sebelum menentang Papua New Guinea baru-baru ini.

Ia mungkin menjadi ‘aroma tambahan’ dalam merangka taktikal sehingga berjaya membenam pasukan Papua New Guinea 10-0 semalam.


Satu kongsian di laman sosial media menunjukkan seorang lelaki memberikan beberapa ulas buah durian jenis ‘black thorn’ untuk ketua jurulatih skuad kebangsaan itu dan meminta untuk diberikan kepada barisan kejurulatihan yang lain.

Dalam video yang berdurasi tidak sampai satu minit itu juga memperlihatkan KPG dan anak buahnya begitu suka dengan rasa buah itu sehingga ada yang tersenyum lebar apabila merasanya buat kali pertama.

Sejak mengambil alih skuad kebangsaan awal tahun lalu, permainan yang ditunjukkan oleh Malaysia semakin baik dan meyakinkan, dengan kejayaan paling manis setakat ini adalah membawa Harimau Malaya layak ke saingan Piala Asia secara merit selepas 42 tahun.

Mungkin salah satu rahsia beliau berjaya membawa Malaysia hingga ke tahap ini adalah ‘kesudiannya’ untuk mendalami sekali budaya tempatan dan bukan sahaja untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang jurulatih.

Buah durian boleh dianggap sebagai satu ‘budaya’ di Malaysia dan adalah satu buah yang asing bagi orang Korea Selatan, dan tidak banyak orang yang boleh menerima buah tersebut, lebih-lebih lagi dengan baunya yang dianggap tidak selesa bagi sesetengah orang.

Namun, Pan-gon dilihat begitu suka dengan rasa buah tersebut dan menikmatinya dengan gembira.

Sebagai seorang jurulatih asing, beliau mempunyai cabaran yang tersendiri untuk melatih pasukan yang mempunyai budaya serta makanan yang jauh berbeza.

Menjengah sedikit kepada aksi pasukan Malaysia semalam sememangnya memukau sehinggakan Paulo Josue yang dikatakan jarang dan kurang selesa untuk bermain sebagai penyerang boleh mencetak jaringan hatrick pertamanya bersama skuad kebangsaan.

Di samping itu gandingan sayap kiri dan kanan tempatan seakan-akan mempunyai keserasian yang tinggi meskipun secara hakikatnya Faisal Halim dan Arif Aiman bukan daripada kelab yang sama.

Tidak terlepas reaksi penonton juga menunjukkan sangat berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh anak didik Pan-gon.

Mereka sama ada yang hadir di stadium sendiri untuk menyaksikan perlawanan itu ataupun menonton di rumah masing-masing melontarkan ucapan tahniah dan keterejuaan melihat kejayaan skuad buat masa ini.