Banyak pihak guna nama JDT untuk publisiti, TMJ berjaya bina sebuah jenama, bukan hanya kelab bola sepak

4,783

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyifatkan bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) bukan sahaja sebuah kelab bola sepak akan tetapi sebuah jenama sejak ia ditubuhkan pada tahun 2013.

Namun disebabkan perkara ini, banyak media yang dikatakan menggunakan nama JDT sebagai satu ‘daya penarik’ minat bagi konten-konten yang ditulis ataupun dirakam kerana sememangnya apa sahaja yang melibatkan JDT sudah pasti ramai tertarik untuk mengetahui.


Baru-baru ini TMJ mempersoalkan media yang memulakan khabar angin bahawa penyerang utamanya iaitu Bergson Da Silva bakal berpindah ke Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Dalam pernyataan yang ditulis panjang itu, TMJ sendiri menyangkal perkara itu dan menganggap sesiapa sahaja yang mereka cerita sebegini adalah jahil selain dalam penulisannya juga, beliau mempersoalkan bagaimana pemain-pemain di JDT mahu keluar sedangkan di kelab itu sudah serba serbi cukup berbanding kelab-kelab lain di Malaysia.

Seawal penubuhan kelab itu juga kita sudah lihat ramai pemain ternama dari pelbagai pasukan di Liga Super dan luar negara seperti Pablo Aimar yang dibeli bagi memperkukuhkan jentera skuad tersebut.

Kejayaan dan kejuaraan mula diraih oleh JDT dan secara tidak lansung jenama JDT kini semakin berkembang menjadi satu nilai komersial yang besar sehingga berjaya menarik banyak penaja datang menyumbang kepada Liga Super.

Seperti yang diperkatakan oleh pemilik pasukan juara sembilan kali berturut-turut Liga Super itu, kesemua pemain-pemain sangat mengimpikan untuk bermain di pasukan itu bukan sahaja atas faktor gaji malah manfaat lain yang boleh dikecapi di sana.

Jika kita selami sejarah dan kejayaan yang diraih oleh JDT sejak awal pertubuhannya, sememangnya bukan sesuatu yang boleh dicapai oleh mana-mana kelab dalam masa sesingkat ini.

Justeru tidak dapat disangkal bahawa dalam tempoh 10 tahun ini, TMJ bukan sahaja membina sebuah pasukan bola sepak yang berkualiti tinggi tetapi juga sebuah jenama yang mampu menarik minat semua pihak.