Masih tiada kemenangan di bawah Jurgen Klinsmann, Korea Selatan tempang tanpa Kim Min-jae dan Heung Min-son

2,258

Pasukan Korea Selatan yang merupakan seteru dalam kumpulan E bersama Malaysia di Piala Asia 2023 tampil goyah selepas tiada kemenangan diperoleh dalam tempoh lima perlawanan terakhir mereka.

Korea Selatan yang kini berada di tangga ke-27 dunia tidak mampu untuk menyaingi pasukan yang kini sedang menduduki tangga ke-21 iaitu Peru setelah tewas dengan jaringan 1-0.


Manakala dalam aksi seterusnya, Korea Selatan melayani kunjungan daripada El-Savador yang berada di tangga ke-75 dunia, namun mereka tetap tidak berjaya melakar kemenangan apabila hanya mampu seri 1-1.

Hal ini secara tidak lansung satu perkara yang mengejutkan kerana sebelum ini di Piala Dunia Qatar, Korea Selatan menunjukkan prestasi menakjubkan apabila berjaya keluar daripada kumpulan H untuk mara ke pusingan 16 terakhir walaupun berdepan pasukan yang hebat iaitu Portugal, Uruguay dan Ghana.

Perkara ini sudah pasti memberi sedikit keyakinan kepada pasukan-pasukan yang berada dalam kumpulan E di Piala Asia 2023, dan mengkaji kelemahan skuad itu ketika ini.

Melihat daripada tonggak yang digunakan oleh jurulatih Jurgen Klinsmann, ketiadaan pemain sensasi Liga Perdana Inggeris iaitu Son Heung-min dan juga pemain pertahanan Napoli, Kim Min-jae mungkin menjadi faktor prestasi yang tidak menentu pasukan itu.

Min-jae yang memenangi gelaran Serie A musim ini kini sedang menamatkan latihan ketenteraan wajib yang dilaksanakan ke atas semua golongan lelaki di Korea Selatan pada bulan ini.

Manakala buat bintang Tottenham Hotspur itu pula, hanya memanaskan bangku simpanan selepas baru sahaja selesai melakukan pembedahan disebabkan kecederaan sport hernia.

Bermain agak tempang tanpa Min-jae di bahagian pertahanan memudahkan banyak hantaran dan serangan yang membolehkan Korea Selatan dibolosi seawal minit ke-11 menerusi Bryan Reyna.

Meskipun daripada segi statistik menunjukkan Korea Selatan memilik jumlah percubaan sebanyak 13 kali namun tiada daripadanya berjaya menembusi Pedro Gallese yang menjaga erat gawang golnya.

Sejak Februari yang lalu di bawah kendalian Klinsmann, masih belum ada kemenangan yang diraih oleh skuad Harimau Asia itu, sekaligus menunjukkan prestasi terburuk setelah tamat Piala Dunia yang lalu.

Mungkin pemain masih belum cocok dengan gaya permainan dan taktikal yang ingin diterapkan oleh Klinsmann dan memerlukan masa lagi.

Tetapi, bagi pasukan lawan di kumpulan E Piala Asia, sudah tentu persembahan yang tidak menentu oleh Korea Selatan itu menjadi satu ‘rahmat’ yang mungkin boleh dieksploitasi ketika kejohanan itu bermula.

Selain daripada Malaysia, Korea Selatan akan turut bertemu Bahrain serta Jordan dalam kumpulan sama yang akan bermula pada Januari tahun depan.