CEO Sabah tak sokong keganasan, ‘The Rhinos’ mungkin terpaksa lupakan Rizal Ghazali jika didapati bersalah

870

Sabah FC yang tidak begitu konsisten dalam saingan liga sejak beberapa perlawanan ini menerima tamparan hebat berikutan kes melibatkan pertahanannya iaitu Rizal Ghazali yang didakwa memukul teman wanitanya.

Baru-baru ini, pemain pertahanan Sabah itu didakwa di mahkamah kerana menyerang teman wanitanya iaitu Hani Farhana Hasrul Sani atau lebih dikenali sebagai Dr Hana Rose, yang telah memuat naik beberapa perkongsian di Instagram menunjukkan beberapa bahagian tubuhnya yang terdapat kesan lebam.


Menurut laporan Majoriti, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah, Marzuki Nasir memberi bayangan berkenaan tempat Rizal Ghazali dalam skuad Borneo itu apabila menyatakan beliau tidak menyokong segala bentuk keganasan dan mengambil contoh kes melibatkan bekas pemain Manchester United, Mason Greenwood yang turut memukul teman wanitanya.

Oleh itu, jika Rizal didapati bersalah, ia kemungkinan besar akan menjejaskan tempatnya dalam skuad Sabah.

Sudah pasti perkara ini akan memberi kesukaran buat Sabah dan pengendali kelab, Datuk Ong Kim Swee untuk mencari pengganti yang sesuai buat mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Rizal memandangkan pemain tersebut adalah antara nadi utama bahagian pertahanan Sabah.

Mengikut statistik, Rizal diturunkan oleh Kim Swee sebanyak 11 kali daripada 14 perlawanan Liga Super musim ini, di mana beliau menjaringkan satu gol dan dua bantuan gol.

Beliau juga menjadi penjana utama bahagian kanan pasukan Sabah, terutama dalam proses menggempur benteng pertahanan pasukan lawan dengan menggunakan kelajuan dan kekerasan yang dimilikinya.

Rizal yang juga pernah memenangi anugerah Pemain Pertahanan Terbaik Malaysia 2016 itu baru-baru ini diletakkan dalam senarai bersedia oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon untuk dua perlawanan persahabatan menentang Solomon Islands dan Papua New Guinea.

Dengan kes sebegini, namanya mungkin selepas ini tidak akan dipertimbangkan langsung dalam skuad kebangsaan walaupun dalam senarai bersedia sekiranya didapati bersalah.

Kes ini juga pasti boleh menganggu dan membuatkan prestasi semasanya terganggu, dan ia adalah satu kehilangan yang cukup besar untuk Sabah.

Baru-baru ini juga,media turut melaporkan berita mengenai teman wanita seorang pemain bola sepak, yang dipercayai Rizal, disoal atas pertuduhan memecah masuk rumah dan mencuri barang di rumah pemain tersebut.

Siapa yang betul dan siapa yang salah, hanya mereka yang tahu tetapi diharapkan perkara ini boleh diselesaikan di luar mahkamah antara kedua-dua pihak itu.