Diberi talian hayat oleh KBS, PAFA perlu buktikan peluang kedua yang diberi berbaloi

421

Susulan kes Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) digantung selama enam bulan oleh Pesuruh Jaya Sukan (PJS) berikutan kemelut yang melanda, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah bersetuju untuk mengangguhkan pembatalan badan induk itu.

Sebuah jawatankuasa adhoc akan ditubuhkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk mengurus tadbir persatuan itu sehingga mereka selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM).


Ini pastinya satu perkara yang cukup bermakna buat salah satu persatuan tertua di negeri itu yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan bola sepak di negeri itu sejak sekian lama.

Sekiranya persatuan tersebut bubar, ia pastinya meninggalkan kesan yang begitu mendalam terhadap sukan bola sepak di Perak kerana sejarahnya yang begitu besar, serta aset yang dimiliki akan dibekukan begitu saja.

Dengan talian hayat yang diberikan ini, pihak terlibat haruslah melakukan yang terbaik bagi memastikan persatuan itu mendapat nafas kedua untuk bangkit dan menjadi sebuah persatuan yang diuruskan dengan baik.

Jika pihak terlibat tetap tidak dapat menyelesaikan kemelut yang berlaku dan tetap bermasalah setelah diberi peluang kedua, mungkin keputusan yang dilakukan oleh PJS itu adalah tepat.

Namun, jawatankuasa adhoc yang ditubuhkan untuk mengurus tadbir persatuan itu juga sepatutnya harus diberi tanggungjawab untuk menjadi ‘watchdog’ sehinggalah persatuan itu kembali di jalan yang tepat.

Sekiranya wujud pemantauan lanjut dari pihak berkecuali, ia boleh memastikan kemelut yang berlaku sebelum ini tidak berulang kembali.