Jika Chanathip merupakan ejen bebas, mungkin destinasinya adalah di Liga Super

1,610

Faktor nilai perpindahan yang tinggi menyebabkan banyak pasukan elit di Liga Super atau Liga 1 Indonesia tidak melobi pemain sensasi Asia Tenggara dari Thailand, Chanathip Songkrasin yang akhirnya direkrut semula oleh kelab negara asalnya, BG Pathum.

Chanathip yang sudah berkelana ke Jepun untuk bermain bersama dua kelab di J1 League iaitu Kawasaki Frontale dan Hokkaido Consadole Sapporo kini kembali ke tanah airnya selepas enam tahun beraksi di sana dengan jumlah 133 perlawanan, 14 gol dan 23 bantuan jaringan.


Selepas terdapat khabar angin bahawa beliau akan berpisah dengan kelabnya, tiada bidaan langsung yang dibuat oleh kelab-kelab elit daripada Malaysia untuk mendapatkan khidmat jurutera tengah Thailand tersebut, sedangkan kemahiran dan rekod yang ditunjukkan sangat memberansangkan dan menjanjikan.

Beliau juga boleh dianggap sebagai salah satu pemain terbaik di rantau Asia Tenggara dan pastinya dapat memperkuatkan mana-mana pasukan pada jendela perpindahan pemain kedua Julai ini.

Jika dilihat daripada perkongsian yang dibuat oleh ejen Chanatip iaitu FPS Management, meskipun nilainya tidak didedahkan namun mereka memberitahu bahaya jumlah perbelanjaan untuk membawa pemain tersebut ke BG Pathum adalah amat tinggi.

Mengikut harga yuran perpindahan yang diletakkan bagi seorang pemain bestatus bintang di Asia Tenggara itu, sudah semestinya adalah sangat tinggi sedangkan pemain yang mempunyai nilai tertinggi di Liga Super iaitu Jordi Amat yang mewakili Johor Darul Tak’im (JDT) juga dibawa secara percuma.

Jadi, mungkin jika Chanathip merupakan seorang ejen bebas dan tidak memerlukan perpindahan untuk membawanya masuk, ada kelab-kelab di Liga Malaysia yang berminat untuk membawanya masuk.

Beliau kini baru saja berusia 29 tahun dan boleh menyumbang keringat untuk beberapa tahun lagi jadi tidak rugi sebenarnya untuk mendapatkan tandatangannya.

Mungkin apabila kontraknya tamat pada satu hari nanti dengan BG Pathum dan menjadi ejen bebas, ketika itu baru banyak kelab di Liga Super yang akan berminat untuk membawa beliau beraksi di Malaysia.

Pada musim ini, Chanathip hanya melakukan enam penampilan bersama Kawasaki Frontale, jadi kembalinya beliau ke Thailand diharapkan dapat memberi minit permainan yang mencukupi buatnya untuk mengembalikan prestasi terbaik untuk skuad kebangsaan Thailand, menjelang Piala Asia 2023, di mana Thailand diundi dalam kumpulan F bersama-sama Arab Saudi, Oman dan Kyrgyzstan.