Suphanat Muenta akan sertai Leicester City, mampu cipta sejarah tersendiri di England

304

Pemain muda Thailand, Suphanat Muenta akan menembusi pasaran eropah apabila dilaporkan bakal menandatangani perjanjian bersama kelab England, Leicester City.

Beliau yang baru sahaja berumur 21 tahun itu telah menghadiri sesi percubaan pada awal Januari tahun ini dan semasa dalam tempoh itu, pihak Liecester City dilaporkan begitu kagum dengan kehebatannya.


Perkara ini menjadikan beliau memahat statusnya sebagai salah seorang pemain muda terbaik di Asia Tenggara dan akan beraksi di liga yang jauh lebih baik daripada beberapa pemain muda negara seperti Arif Aiman yang kini masih bermain di Malaysia dan Luqman Hakim yang sedang berkelana ke Iceland.

Meskipun kelab tersebut adalah milik seorang usahawan Thailand, namun ia merupakan satu peluang yang optimistik buat pemain tersebut kerana dapat bermain di kelab yang gah walaupun baru saja tersingkir daripada Liga Perdana Inggeris (EPL).

Menurut statistik, Suphanat yang bermain di bahagian sayap itu telah bermain 101 perlawanan bersama Buriram United dan telah menjaringkan 24 gol dan 15 bantuan jaringan selain sudah bermain mewakili skuad kebangsaan Thailand B-16 dan memasuki pasukan senior kebangsaan sejak tahun 2019.

Jika dilihat dari segi umurnya, beliau bermain dalam jangka masa atau era yang sama dengan Luqman Hakim semasa menyarung jersi kebangsaan.

Namun sekarang, kedua-dua pemain ini dilihat mempunyai nasib yang berbeza apabila Luqman memilih untuk merantau sejak usianya memasuki 17 tahun untuk bermain bersama KV Kortrijk yang mana ketika itu kelab Belgium itu dimiliki oleh jutawan dari Malaysia iaitu Vincent Tan.

Perjalanan Luqman dilihat mempunyai pelbagai liku-liku dalam mendapatkan peluang bermain bersama skuad senior tersebut apabila perlu bersaing dengan para pemain Eropah yang rata-rata bertubuh besar dan intensiti permainan yang jauh berbeza dengan gaya di rantau Asia Tenggara.

Sebelum ini juga perbandingan kedua-dua pemain ini pernah berlaku apabila perlawanan Malaysia menentang Thailand semasa saingan Piala Asia B-23 tahun lalu di mana Suphanat menjaringkan dua gol sedangkan Luqman Hakim digantikan pada minit 63.

Sekali lagi, ini bukan pengakhiran buat pemain muda Malaysia itu selain ini juga merupakan permulaan buat Suphanat bagi memulakan kariernya di luar daripada rantau Asia Tenggara ini.

Dalam pada itu, Leicester City baru sahaja menerima jurulatih baharu iaitu Enzo Maresca, iaitu bekas pembantu Pep Guardiola yang menggantikan Brendan Rogers yang gagal mengekalkan pasukan tersebut di EPL.

Dijangka, ramai pemain bintang seperti James Maddison, Jamie Vardy dan lain-lain akan angkat kaki ke pasukan baru.

Oleh itu, ini adalah satu peluang yang tidak ternilai buat Suphanat untuk cuba mendapatkan tempat dalam pasukan, seterusnya membuktikan kehebatannya di sana.