Kita memang nak main macam Manchester City, pemain muda Malaysia lambat matang – Osmera Omaro

779

Ketua jurulatih skuad B-17 negara, Osmera Omaro menyifatkan bahawa pemain muda Malaysia lambat untuk mencapai kematangan, jadi sukar untuk pergi ke sesuatu kejohanan dan mengharapkan mereka menjadi juara.

Tegasnya, jika kejuaraan yang dicari, Malaysia boleh mencari pemain-pemain yang mempunyai fizikal yang besar bagi bersaing dengan negara-negara yang mempunyai kelebihan fizikal dan melatih mereka selama beberapa tahun sebelum dihantar ke kejohanan, tetapi ia akan membantutkan peluang pemain yang betul-betul berbakat.


“Budak Malaysia ini memang lambat matang, kalau nak harapkan skuad B-17 pergi ke satu kejohanan dan menang ia bukan perkara yang amat mudah.

Jika kita betul mahu menang, kita pilih satu kejohanan dan ambil pemain berbadan besar dan latih mereka selama lima tahun, mungkin boleh menang tetapi kita akan rugi kerana mereka ini bukanlah pemain paling berbakat, apabila ambil pemain yang betul-betul berbakat prosesnya memakan masa,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, ramai netizen yang memberi kecaman kepada pemain kerana gaya permainan yang ditunjukkan oleh mereka namun beliau menegaskan bahawa ia adalah sebahagian daripada proses untuk menjadi pemain yang matang.

Beliau berkata bahawa kesilapan yang dilakukan oleh pemain akan menjadikan mereka pemain yang lebih baik dan matang pada masa hadapan, justeru beliau tidak sewenang-wenangnya mahu mengubah gaya permainan seseorang pemain.

“Kita lihat Ederson (penjaga gol Manchester City) apabila beliau main dari belakang semua orang puji, kita cuba lakukan itu tetapi orang kritik kenapa banyak sangat main dari bawah.

Kita nak main dari bawah sebab nak tarik pihak lawan, kita nak main seperti Manchester City, memang sekarang kita tengok kerap hilang bola sebab kualiti pihak lawan tinggi, tetapi jika lihat perlawanan kita di Malaysia ia menjadi sebab pihak lawan kurang kuat.

Tapi kita cuba juga main seperti itu dan apa bila kita terus mencuba kita akan lahirkan pemain yang baik, tetapi jika kita larang susahlah mereka nak berkembang.”

Beliau menegaskan bahawa program NFDP dan juga AMD masih berada di landasan yang tepat dan mengikut tujuan ia ditubuhkan iaitu untuk melahirkan pemain yang bagus, dan bukannya sebuah pasukan.

Beliau berkata prestasi di kejohana Piala Asia B-17 agak memuaskan kerana berdasarkan kedudukan, Malaysia adalah negara ‘top 12’ di Asia.