Tiada kronisme dalam pemilihan pemain, segala keputusan perlu melalui jawatankuasa juga – Osmera Omaro

397

Ketua jurulatih skuad B-17 negara, Osmera Omaro menafikan bahawa pemilihan pemain ke kejohanan Piala Asia B-17 mempunyai unsur kronisme daripada pihaknya.

Katanya, segala pemilihan dari peringkat awal sehinggalah kepada senarai kesebelasan utama bukanlah di bawah kuasa mutlaknya sahaja, tetapi perlu melalui pihak atasan juga.


“Sebenarnya yang cakap pasal kroni ini tak betul kerana kita ada jawatankuasa yang besar, bukan saya bangun pagi dan terus pilih pemain macam itu saja.

Contohnya untuk satu perlawanan, kalau main pada hari Sabtu, dari hari Khamis lagi saya dah kena hantar barisan pemain, dan hari Jumaat akan ada mesyuarat dengan pihak berkenaan untuk semua kemukakan pendapat.

Untuk pilih seorang pemain pun kadang-kadang perlukan hingga 30 minit perbincangan, jadi proses itu bukan semudah yang orang sangkakan,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Katanya, untuk kejohanan Piala Asia B-17 ini, ia turut dihadiri oleh orang tertinggi seperti Pengarah Teknikal FAM dan juga Pembantu Pengarah Teknikal AMD.

Tambahnya, beliau menghadapi kesukaran pada kejohanan itu dengan beberapa keecederaan pemain utama yang mengganggu perancangan, tetapi tetap mengakui bahawa Malaysia beraksi dengan kurang baik.

“Bukan senang kita hadir ke kejohanan ini dengan prestasi kita yang sedang menurun, mungkin juga kita tidak berapa bersedia dengan kecederaan beberapa pemain penting, di mana perancangan yang kita telah bina dalam masa yang lama tidak dapat dibuat.

Ia agak mengecewakan tetapi kita harap pemain dapat perbaiki daripada kejohanan ini dan menjadi pemain yang lebih baik.”

Katanya, menentang lawan yang kuat pada kejohanan itu, kadang kala segala perancangan yang telah dilakukan tidak berjaya dan terpaksa diubah.

Walaubagaimanapun, beliau menganggap persembahan anak-anak buahnya pada kejohana tersebut cukup memuaskan.