Keluar senarai nama sahaja, tetapi tiada ‘update’ tentang kem latihan skuad B-23 daripada FAM

1,049

Tiada kelibat di mana dan apa yang dilakukan oleh skuad B-23 negara walaupun kem latihan sudah berakhir pada 19 Jun lalu.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) langsung tidak memuat naik apa-apa berita atau suasana di kem latihan tersebut di mana-mana laman sosialnya.


FAM pada 8 Jun lalu mengeluarkan kenyataan bahawa skuad Kebangsaan B-23 akan menjalani sesi latihan daripada 12 hingga 19 Jun sebagai persiapan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Chonburi, Thailand, di mana Malaysia diundi dalam kumpulan B bersama Indonesia dan juga Timor-Leste.

Pengendali skuad tersebut, E Elavarasan sudah memanggil 26 orang pemain yang beraksi di dalam Malaysia serta seorang pemain yang kini melebarkan sayapnya di liga Iceland iaitu Luqman Hakim namun tiada sebarang khabar berita yang diketahui berkenaan keadaan dan prestasi pemain-pemain yang dipanggil.

Memandangkan tiada sebarang belum ada kemas kini berkenaan perkara tersebut, jadi mari kita lihat serba sedikit prestasi skuad B-23 negara dalam kejohanan atau persahabatan yang berlansung sebelum ini.

Dalam Sukan SEA 2023 yang berlansung di Kemboja baru-baru ini skuad kebangsaan yang diletakkan bersama dua gergasi Asia Tenggara iaitu Thailand dan Vietnam, bermula garang apabila menumpaskan Laos dengan skor 5-1.

Momentum yang positif dalam skuad Harimau Muda itu nampaknya tidak cukup untuk menumbangkan skuad Gajah Perang apabila tewas dengan jumlah jaringan 2-0.

Namun, sekali lagi Malaysia yang mengharapkan kemenangan bagi melayakkan mereka ke perlawanan separuh akhir terkubur apabila tumpas kepada Vietnam dengan kekalahan tipis 1-2 yang menunjukkan skuad kebangsaan berhempas pulas untuk menumbangkan pihak lawan.

Bermain tanpa tekanan kerana sudah terkeluar daripada pertandingan, pada perlawanan terakhir skuad kebangsaan membaham Singapura dengan skor 7-0 apabila pemain muda KL City Saravanan Thirumurugan mencetak empat gol dalam perlawanan tersebut.

Berdasarkan rekod perlawanan yang dipamerkan oleh skuad Elavarasan ini, sememangnya masih banyak perlu diperbaiki terutama apabila bertemu dengan pasukan-pasukan yang mempunyai rentak permainan berintensiti tinggi seperti Thailand dan Vietnam yang mana kita lihat rata-rata pemain-pemain mereka mempunyai kelajuan serta teknik yang baik.

Kini, menjadi tanda tanya prestasi yang bakal ditonjolkan skuad B-23 negara itu dan diharapkan menjelang Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Chonburi, Thailand kelak, mereka dapat menunjukkan persembahan yang meyakinkan dan membuktikan kepada para peminat latihan ‘rahsia’ yang dilakukan ini dapat membuahkan hasil.