Bawah pimpinan Erick Thohir, Indonesia semakin ‘mendonia’

484

Bola sepak Indonesia dilihat semakin ‘mendonia’ di bawah pengurusan Erick Thohir apabila pelbagai inisiatif yang diperkenalkan untuk meningkatkan mutu bola sepak skuad Garuda itu.

Erick Thohir yang baru sahaja diangkat sebagai Ketua Umum Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) pada awal tahun ini menggantikan Iwan Bule memperlihatkan impak yang besar buat masa depan bola sepak Indonesia.


Pencapaian bola sepak Indonesia kini boleh dikatakan sedang berevolusi apabila pelbagai langkah kemajuan yang mula dibentuk oleh Erick daripada sektor pencarian bakat akar umbi sehingga ke mutu pengadilan oleh pengadil-pengadil di negara itu.

Antara salah satu kemajuan yang ingin dibawa ke industri bola sepak Indonesia adalah dengan menganjurkan satu kejohanan bola sepak antarabangsa yang melibatkan pasukan muslim di seluruh dunia.

Hal ini telah dibincangkan bersama dengan pengerusi Persatuan bola sepak Palestin tempoh hari namun perkara ini masih lagi dalam perbincangan secara rahsia oleh kedua-dua pihak.

Namun ia sesuatu yang harus dipuji apabila wujud idea yang mana sebuah organisasi bola sepak di negara Asia Tenggara mampu untuk menganjurkan sebuah kejohanan bola sepak yang bertaraf antarabangsa itu.

Selain itu untuk memastikan kebolehpasaran pemain di liga Indonesia mahupun pemain-pemain muda di negara itu berkembang, Erick turut berjaya untuk menjalinkan hubungan dengan persatuan bola sepak Jepun (JFA) dan juga liga Jerman.

Seterusnya, antara usaha yang dilakukan untuk menambah baik mutu pengadilan di negara tersebut khususnya Liga Indonesia adalah dengan menghantar surat kepada Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi menghantar Ketua Jawatankuasa Pengadil FIFA iaitu Pierluigi Collina untuk berkongsi ilmu.

Perkara ini dilakukan oleh Erick adalah untuk memastikan pengadil-pengadil di Indonesia mendapat pendedahan secara terus daripada bekas pengadil legenda Eropah itu, selain meningkatkan kualiti serta mutu pengadilan yang lebih tinggi daripada negara-negara lain terutama di Asia Tenggara.

Hal ini merupakan satu langkah yang amat baik dilakukan oleh pengerusi PSSI itu untuk memastikan perlawanan-perlawanan yang dimainkan samada di saingan liga domestik ataupun luar negara dipenuhi dengan pengadil-pengadil yang berasal daripada Indonesia.

Dengan perlawanan menentang Argentina baru-baru ini, menunjukkan bahawa Erick begitu serius dalam membawa Indonesia ke satu tahap yang lebih tinggi kerana bukan calang-calang untuk sesebuah pasukan dari Asia Tenggara mampu untuk menentang pasukan yang berstatus Juara Dunia.

Meskipun tewas dengan jumlah jaringan 2-0 dan tercicir mata FIFA, namun ia bukanlah sesuatu yang buruk, jika dilihat daripada sudut positif skuad kebangsaan Indonesia mempunyai pengalaman untuk bersaing dengan pasukan yang baru sahaja mengangkat Piala Dunia itu dan tidak senang-senang memberi mereka ruang untuk membuli skuad Garuda itu.

Oleh yang demikian, Erick Tohir meskipun baru sahaja memegang jawatan sebagai Ketua Umum PSSI, namun dalam tempoh yang singkat ini beliau telah menunjukkan kemampuannya untuk memimpin organisasi bola sepak negara itu dengan lebih maju.