Nguyen Quang Hai teruskan ‘tradisi’ pemain Asia Tenggara balik kampung selepas tidak berjaya di Eropah

624

Kini sudah menjadi satu ‘tradisi’ dalam dunia bola sepak Asia Tenggara apabila seseorang pemain yang berkelana ke Eropah akan kembali pulang ke rantau ini semula atau negara asalnya kerana tidak berjaya meninggalkan kesan di bumi Eropah.

Baru-baru ini, ia berlaku kepada pemain yang digelar ‘Messi Vietnam’ iaitu Nguyen Quang Hai.


Selepas kepulangan pemain sensasi Thailand iaitu Chanatip Songkrasin ke bumi Thailand kini tiba pula masa untuk Quang Hai pulang ke Vietnam selepas hanya satu musim di Ligue 2 bersama Pau FC.

Perkara ini sebenarnya sering terjadi kepada pemain daripada Asia Tenggara yang kebanyakkannya tidak diberi peluang untuk bersama skuad utama disebabkan beberapa faktor seperti saiz tubuh badan dan tidak bersesuaian dengan cara permainan Eropah .

Hal ini boleh dilihat apabila setelah satu musim pemain itu berpindah ke kelab itu, Quang Hai hanya bermain sebanyak 20 perlawanan sahaja, dan hanya menjaringkan satu gol sepanjang berada di sana.

Perkara ini boleh dikaitkan dengan beberapa pemain Malaysia yang sebelum ini pernah berkelana ke Eropah namun pulang semula disebabkan beberapa faktor yang lebih kurang sama.

Antaranya adalah Safawi Rasid yang kini sedang bermain dengan Johor Darul Ta’zim (JDT), yang pernah satu ketika dahulu menjadi tumpuan ramai apabila dilamar oleh kelab Portugal iaitu Portimonense S.C.

Pemain asal dungun ini dahulu menjadi satu tonggak harapan negara selepas beberapa siri pemain muda yang berkelana ke luar negara namun tidak menjadi.

Perjalanan Safawi sepanjang berada di sana adalah ibarat menunggu bulan jatuh ke riba kerana peluang untuk debut bersama skuad tersebut tidak kunjung tiba.

Safawi yang dipinjamkan daripada JDT untuk tempoh satu musim ibarat hanya untuk memenuhi kuota pemain import kelab tersebut kerana sehingga ke penghujungnya beliau tidak dapat peluang untuk melakukan debut dan akhirnya kembali semula ke tanah air.

Jika sebegini rupa, para pemain perlu mengukur baju di badan sendiri sebelum  bersaing di liga Eropah kerana ia adalah suatu cabaran yang begitu besar, mungkin disebabkan kemampuan pemain-pemain di sana, faktor gaya permainan yang lain atau lain-lain seperti faktor cuaca, saiz badan dan corak permainan yang berintensiti tinggi.

Buat masa ini, mungkin cukup untuk berkelana ke liga-liga Asia dahulu seperti Jepun dan Korea yang sememangnya kita tahu kualiti dan corak permainannya yang juga tinggi, sehingga ramai pemain daripada kedua-dua liga ini berjaya mengembangkan bakat ke Eropah.

Lain pula cerita seorang pemain muda kebangsaan, Luqman Hakim yang kini sedang berkelana di Liga Iceland setelah beberapa musim di liga Belgium bersama KV Kotrijk.

Luqman yang memulakan karier profesionalnya dalam bola sepak pada umur 18 tahun telah menandatangani kontrak bersama pasukan liga Belgium itu selama lima tahun.

Namun, mungkin kerana disebabkan faktor tubuh badan yang kecil dan kurang ‘compatible‘ untuk dimainkan dalam liga utama, Luqman diminta untuk berlatih secara khusus untuk membina otot agar dia boleh menyaingi saiz tubuh badan pemain Eropah yang rata-ratanya besar-besar belaka.

Setelah itu Luqman turut dapat bermain tiga perlawanan bersama skuad utama pasukan tersebut dan akhirnya memilih untuk sambung berkelana ke Iceland dengan baki kontrak yang masih ada.

Oleh yang demikian, perkara ini menunjukkan sedikit sebanyak bahawa masih ada pemain-pemain yang mempunyai semangat dan keberanian untuk bersaing dengan pemain-pemain di Eropah meskipun kekurangan daripada segi beberapa faktor.