Tiap kali dipilih jadi kapten ia tugas yang berat kerana Selangor sebuah pasukan besar – Mukhairi Ajmal

282

Pemain Selangor FC, Mukhairi Ajmal mengakui menjadi kapten untuk sebuah pasukan yang besar seperti Selangor bukanlah satu tugas yang mudah.

Katanya, setiap kali dipilih untuk memakai lilitan kapten oleh jurulatih, beliau rasa beban tanggungjawab itu dan cuba menggalasnya dengan baik.


“Setiap kali saya dipilih sebagai kapten ia memang satu tugas berat kerana Selangor bukan pasukan bawahan.

Ia adalah sebuah pasukan yang besar jadi tanggungjawab bukanlah mudah, saya dapat rasakan tanggungjawab itu,”

katanya.

Mengenai perlawanan separuh akhir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim Isnin ini, beliau mengakui ia satu perlawanan yang sukar, lebih-lebih lagi bertandang ke gelanggang lawan.

Beliau berharap semua pemain dapat belajar daripada kekalahan 4-0 dalam saingan liga sebelum ini menjelang perlawanan tersebut.

“Kita tahu JDT sebuah pasukan yang besar, harap kita dapat berikan yang terbaik daripada perlawanan sebelum ini dan tunjukkan kita mampu buat.

Kita tahu JDT di tempat sendiri begitu kuat, ditambah dengan penyokong mereka berikan semangat, apa yang penting kita ikut arahan dan fokus dalam 90 minit atau lebih nanti.”

Tambah Mukhairi, beliau kini sudah selesa diletakkan di mana-mana posisi termasuklah di bahagian kanan selepas mendapat nasihat daripada jurulatih dan juga pihak pengurusan.

Beliau melihat ia sebagai satu kelebihan dirinya kerana boleh beraksi di banyak posisi.