Pemain Malaysia kurang berani?

136

Susulan berita perpindahan kapten pasukan Thailand, Chanatip Songkrasin menyertai kelab gergasi Kawasaki Frontale, menimbulkan persoalan mengapa pemain kita yang beraksi di liga luar tidak mampu menjadi setaraf Chanatip? 

Jika dilihat beberapa pemain kita yang berhijrah ke kelab luar pasti hanya sebagai pemanas bangku simpanan dan tidak membawa pulang ‘sesuatu’ yang memberangsangkan. Contohnya Hadi Fayyadh yang berada di Liga 3 Jepun, Luqman Hakim yang bersama Liga Belgium dan Junior Eldstal yang beraksi bersama kelab Chonburi di Liga Thailand. Malah ada di antara mereka yang belum mendapat minit bermain sama sekali.


Meskipun Chanatip pernah gagal dalam percubaannya menyertai kelab Shimizu S Pulse yang juga merupakan kelab dari Jepun, beliau tidak berputus asa dan sentiasa mencari peluang untuk beraksi di liga hebat Asia itu sehinggalah beliau dilamar menjadi pemain pinjaman pada awalnya kepada kelab Hokkaido Consadole Sapporo. Kini, beliau menjadi sejarah pemain dengan perpindahan domestik paling tinggi dalam sejarah J-League setelah kesediaan Kawasaki Frontale menebus kontraknya yang berbaki empat tahun lagi.

Kredit foto : Facebook Kawasaki Frontale

Seharusnya pemain tempatan mencontohi semangat dan sikap positif yang ditunjukkan Chanatip. Tidak mustahil dengan prestasi memberangsangkan yang beliau tunjukkan beraksi dalam J-League akan menarik minat kelab dari Inggeris pula? Siapa tahu kan? Malah, pemain bintang Sepanyol dan bekas bintang Liverpool dan Chelsea, Fernando Torres turut menyatakan rasa kagum mengenai kemampuan dan kebolehan Chanatip.

Bukannya tidak bangga dengan kemampuan pemain kita yang beraksi di liga luar, namun mereka perlu bekerja keras lagi untuk sampai ke tahap menjadi pemain pilihan utama kelab masing-masing. Jangan cepat berputus asa dan tunjukkan kesungguhan kerana kejayaan memang tidak mudah dicapai. Jadikan Chanatip sebagai contoh terbaik untuk dijadikan rujukan kerana belum ada pemain Asia Tenggara yang mampu menyaingi prestasinya yang pernah dicalonkan sebagai MVP di J-League pada tahun 2018.