Wan Kuzain dan bapa tak sependapat, bangga jika dapat sarung jersi Harimau Malaya

7,048

Wan Kuzain sentiasa berasa bangga jika diberi peluang untuk menyarung jersi kebangsaan dan ramai yang sering menyalah anggap apa yang disampaikan oleh bapanya dan ia bukan daripada lubuk hati pemain tersebut.

Sebelum ini pemain yang sedang beraksi di Amerika Syarikat itu pernah menjalani latihan bersama skuad B-23 tahun kebangsaan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee untuk beraksi di Sukan Sea 2019 namun terpaksa meninggalkan skuad tersebut atas sebab dokumen yang tidak lengkap.


Menurut satu kongsian yang dibuat oleh satu pengguna laman sosial Twitter iaitu @WanKuzac yang dipercayaai sebagai seorang terdekat dengan Kuzain menerangkan segala yang diperkatakan oleh bapanya sebelum ini berkaitan Kuzain adalah bukan apa yang pemain berusia 25 tahun itu mahukan sama sekali.

Dalam kongsian tersebut juga terlihat pelbagai reaksi netizen Malaysia tentang pemain tersebut sehingga ada yang berkata supaya Kuzain melupakan sahaja niat untuk bermain di Malaysia dan teruskan impian bermain bersama skuad bola sepak Amerika Syarikat.

Namun masih ada rakyat Malaysia yang yakin dengan kebolehan Kuzain untuk bersama skuad kebangsaan selain beliau sering dibayangi oleh bapanya iaitu Wan Kamal sehingga pendapat atau kata-katanya tidak diendahkan oleh orang ramai.

Kuzain sebelum ini pernah ditemu bual beberapa kali memberitahu bahawa beliau sangat teruja untuk menyarung jersi kebangsaan jika diberi peluang namun dalam setiap perkongsian itu pasti sosok bapanya membayangi dengan kenyataan-kenyataan yang tidak seiring dengan apa yang difikirkan oleh Kuzain.

Seperti yang dikatakan oleh Wan Kuzac dalam ciapannya itu, rakyat Malaysia suka untuk menghentam Kuzain atas apa yang tidak pernah dia katakan dan meskipun kenyataan yang dikeluarkan adalah dari bapanya, namun Kuzain yang terkena tempias daripada netizen yang membidas pemain kelab St. Louis City 2 itu.

Perkara ini sememangnya bukan suatu yang baharu kerana sudah pasti seorang bapa inginkan yang terbaik untuk anaknya lagikan pula dengan kerakyatan Amerika Syarikat akan memudahkan lagi Kuzain mencapai cita-cita semua pemain bola sepak iaitu bermain Piala Dunia.

Sementara itu, tertarik dengan satu coretan daripada pengguna yang turut memberi pendapat di kongsian itu memberitahu bahawa beliau boleh menerima kekalahan dengan pasukan yang mempunyai 11 Kuzain dari menang dengan 11 Paulo Josue.

Kenyataan itu seolah-olah mahu memberitahu bahawa skuad negara sepatutnya dibarisi oleh pemain-pemain tempatan dan bukannya pemain naturalisasi seperti Paulo Josue, Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Lee Tuck dan tidak dilupakan juga Guilherme De Paula.

Mungkin dengan isu ini berbangkit kita akan dapat melibat Kuzain menyarung jersi Harimau Malaya tidak lama lagi.