Nak jadi pasukan bagus kerana berani lawan pasukan hebat – Cameron Ng

188

Ketua jurulatih Malayan Tigress B-19, Cameron Ng menegaskan bahawa skuad negara perlu berani untuk menentang pasukan-pasukan hebat sekiranya mahu jadi sebuah pasukan yang bagus satu hari nanti.

Cameron mengakui terdapat jurang yang besar di antara pasukannya dengan pasukan dari Asia Tenggara lain seperti Vietnam, Filipina dan Thailand, namun beliau yakin jurang itu dapat dirapatkan.


“Untuk rapatkan jurang itu kita perlu berani lawan dengan pasukan-pasukan hebat seperti ini (Vietnam/Filipina/Thailand). Ya, realistiknya kita akan kalah beberapa kali terlebih dahulu dan ia adalah sebahagian dari proses pembelajaran.

Mungkin kita tidak hebat pada masa sekarang, tapi perancangan kita adalah untuk jangka masa panjang. Oleh itu saya harap pemain-pemain saya akan faham.

Mereka masih muda dan punya karier yang panjang. Kalau mereka nak menang mereka perlu bersaing sekarang dengan pasukan yang lebih hebat untuk biasakan diri,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian apabila skuad B-19 negara akan menghadapi Kejuaraan Wanita B-19 AFF 2023 di Palembang, Indonesia pada 5 hingga 15 Julai ini.

Malayan Tigress telah diundi dalam Kumpulan B bersama gergasi Vietnam dan Singapura.

Dalam pada itu, Cameron tidak meletakkan sasaran tinggi atau keputusan positif dalam kejohanan sebaliknya mahu melihat persembahan pemain-pemainnya.

“Tiada sasaran diletakkan untuk pasukan ini kerana ini adalah skuad yang muda dengan majoriti pemain berusia 17 tahun.

Jadi sasaran saya adalah untuk melihat peningkatan dari sebelum ini. Kalau kami dapat bawa pulang mata ia adalah bonus buat pasukan.”

Sementara itu, beliau juga tidak mempunyai perancangan untuk membawa skuad ini menjalani latihan di luar negara kerana segala perancangan untuk pasukan boleh sepak wanita kini berada di bawah ketua jurulatih negara Soleen Al-Zoubi.

Soleen kini sedang rancak membuat perancangan rapi untuk meningkatkan kualiti bola sepak wanita di seluruh negara menerusi pelbagai program termasuk penganjuran Liga Wanita Nasional (LWN).