Kita tak boleh mengalah untuk ke Asia, itu harapan utama penyokong Selangor – Tan Cheng Hoe

473

Ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe masih enggan mengangkat bendera putih dalam misi untuk membawa pasukan itu ke kejohanan AFC selepas tersingkir daripada saingan Piala FA selepas tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Katanya, mereka masih berada di kedudukan yang baik dalam liga justeru harapan untuk layak ke pentas Asia masih lagi ada.


“Memang harapan utama penyokong kita nak tengok pasukan layak ke pentas Asia, jadi kita tak boleh menyerah kalah begitu saja.

Kita lihat dalam liga kita masih lagi di kedudukan yang terbaik dan mampu bersaing lagi, bukan mudah untuk bersaing dan berada di tahap seperti JDT,”

katanya.

Cheng Hoe berkata demikian pada sidang media selepas kekalahan 4-0 kepada JDT sebentar tadi.

Biarpun tewas, Cheng Hoe berkata anak-anak buahnya sudah bermain dengan baik terutama pada 20 minit awal, tetapi JDT berada di tahap yang lain.

“Seperti yang saya katakan mereka amat bagus dalam transisi, daripada bertahan kepada menyerang dan kita gagal menyekat transisi mereka, kesilapan para pemain kita juga menyebabkan kita dihukum.

Tetapi saya lihat pemain bermain dengan baik, saya tidak boleh salahkan mereka kerana mereka telah menunjukkan komitmen yang tinggi dan mentaliti yang tinggi untuk bersaing.”

Mengenai jendela pendaftaran kedua pemain, Cheng Hoe berkata beliau akan berbincang dengan pihak pengurusan sama ada perlu untuk membawa pemain baharu atau kekal dengan skuad sedia ada.