RMS berani turun ke SSI berhadapan lautan merah biru penyokong JDT demi beri sokongan kepada Selangor FC

440

Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah telah hadir ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk perlawanan separuh akhir Piala FA di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.

Kehadiran RMS dikongsi di laman Instagram milik Gergasi Merah yang memperlihatkan kehadiran baginda untuk memberi sokongan padu buat pasukannya.


Sebelum ini beberapa hari sebelum berangkat ke selatan tanah air, RMS sempat untuk berjumpa dengan para pemain untuk memberi semangat buat mereka disamping itu turut bersantai bersama-sama skuad merah kuning dengan bermain ‘padel tenis’.

Hal ini secara tidak lansung memperlihatkan keterlibatan secara langsung penaung bola sepak Selangor itu khususnya dalam menjaga hubungan dengan para pemainnya.

Selain itu dengan kehadiran RMS di SSI semalam menimbulkan pelbagai persoalan khususnya adakah berlaku sebarang perbincangan mengenai bola sepak tanah air atau peringkat kelab di antara RMS dan juga pemilik JDT iaitu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris.

Perkara ini seharusnya menunjukkan tanda positif bagi kedua-dua hubungan pengendali pasukan gergasi tanah air ini apabila mungkin ada pertukaran pendapat dan idea dalam memajukan lagi kancah bola sepak tempatan mahupun di peringkat kelab mereka sendiri.

Dalam pada itu, sejak RMS menerajui SFC pada 2018, baginda sentiasa terus memberi sokongan dan dorongan termasuk menyediakan pelbagai kemudahan fasiliti untuk meningkatkan kualiti bola sepak kelab.

Antara beberapa penambahbaikan yang menjadi kunci utama kejayaan SFC kini adalah perasmian fasiliti dan tempat latihan baharu buat pasukan SFC yang ditubuhkan semenjak tahun 2019 selain telah membuat penjenamaan semula pasukan tersebut yang telah diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada tahun 2020 daripada Selangor FA kepada Selangor FC dan diuruskan secara terus oleh Red Giants FC Sdn Bhd.

Sementara itu, kekalahan kepada JDT semalam menjadi kekalahan kedua berturut-turut SFC di peringkat separuh akhir Piala FA apabila mereka turut tewas pada musim lalu kepada Terengganu FC menersui sepakan penalti.