Surat dari FAM sebenarnya pasal kes lain, sekatan perpindahan pemain Kelantan FC rupa-rupanya masih ada

488

Pemilik Kelantan FC, Zamsaham sepertinya sudah giat mencari pemain baharu selepas kenyataan yang dibuat olehnya berkenaan penarikan semula sekatan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun malang tidak berbau sekatan tersebut masih ‘valid‘ disebabkan kes yang berbeza.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini telah memberikan amaran buat pasukan Pantai Timur tersebut untuk menyelesaikan segala tunggakkan gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pemain mengikut jumlah yang sepatutnya.


Berikutan dengan perkongsian yang dibuat oleh pemilik kelab The Red Warriors (TRW) itu di laman Facebook, para peminat di luar sana masih tertanya-tanya dan wujud persoalan adakah Kelantan sudah bebas daripada segala sekatan dan denda yang dikenakan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif iaitu Pengerusi First Instance Body (FIB) kes yang melibatkan FAM adalah berbeza dengan yang mereka sedang tangani ke atas pemilik kelab tersebut.

Jadi buat masa ini, denda dan juga larangan yang dikenakan ke atas Zamsaham masih lagi berjalan dan dikhabarkan pemilik TRW itu harus menyelesaikan segala tunggakkan tidak kira melibatkan pemain atau pegawai pengurusan yang telah merujuk kepada FIB sehingga jendela perpindahan menutup tirai pada 1 Ogos depan.

Sekatan yang dikenakan adalah disebabkan kegagalan pihak pengurusan Kelantan FC mengemukakan lampiran bukti pembayaran gaji dan caruman KWSP dalam tempoh yang ditetapkan oleh FIB iaitu pada 28 dan 30 Jun yang lalu.

Zamsaham kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, apabila satu demi satu masalah yang jatuh menimpanya kerana masih ada dakwaan daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang melibatkan bekas jurulatih berasal daripada Korea Selatan yang pernah pengemudi kelab itu awal musim ini iaitu Choi Moon-sik.

Moon-sik yang menang dakwaan ke atas TRW melalui badan induk FIFA yang membabitkan isu dalaman kelab tersebut terutama masalah yang berulang-ulang kali dibangkitkan iaitu tunggakkan gaji dan juga isu deraan mental oleh pemilik kelab tersebut.

Kelantan seakan-akan terumbang-ambing ketika ini dengan lambakan dakwaan yang menimpa mereka, di samping pemiliknya, Zamsaham sedang mengaturkan perbincangan bersama dua individu perniagaan tanah air untuk menguruskan peralihan milik kelab tersebut.

Oleh yang demikian, bagaimanakah pengakhiran babak sedih kejatuhan Kelantan FC ini menjelang penghujung musim. Adakah mereka berjaya bangkit? atau terus tenggelam ditelan ombak musibah?