Selepas Choi Moon-sik, Belfort pula menang kes FIFA ke atas Kelantan, TRW kini ibarat retak menanti belah

373

Kelantan FC menerima satu lagi tamparan daripada badan induk Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) selepas bekas pemainnya, Kervens Belfort memenangi kes dakwaan terhadap The Red Warriors.

Belfort yang kini tidak mempunyai kelab selepas keluar daripada Kelantan memberitahu bahawa dirinya telah memenangi kes dakwaan daripada FIFA terhadap pengurusan TRW namun maklumat terperinci masih lagi belum dikenalpasti.


Perkara ini sememangnya akan memeningkan lagi kepala pemilik kelab, Zamsaham, ditambah dengan beberapa kes yang terpalit berkaitan pasukan Pantai Timur itu yang sedia ada.

Sebelum ini, bekas ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik juga telah memenangi kes FIFA ke atas Kelantan, seperti yang dikongsikan oleh ejennya, Leo Jeong.

Bukan itu saja, walaupun Zamsaham sebelum ini menunjukkan surat penarikan sekatan perpindahan yang dikenakan ke atas kelab itu, ia sebenarnya hanyalah melibatkan satu kes sahaja, sedangkan masih ada lagi banyak kes yang belum selesai.

Secara tidak langsung, ia menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen sama ada pasukan itu betul-betul boleh mendaftarkan pemain baharu pada jendela perpindahan yang baru dibuka awal bulan ini.

Dengan terbaru kes Belfort pula, Kelantan kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, dan meletakkan pasukan itu dalam kedudukan yang lebih tenat.

Pemilik Kelantan perlu segera menyelesaikan perkara ini kerana ketika ini, tidak mustahilada lagi bekas pemain dan pegawai pasukan itu yang sedang membawa isu ini ke peringkat FIFA sekaligus menyesakkan lagi kelab tersebut.

Kelantan FC kini hanya memiliki tempoh tidak sampai satu bulan sahaja lagi bagi menyelesaikan tunggakan gaji, atau mereka terpaksa bermain dengan pemain yang sedia ada disebabkan gagal untuk menandatangani pemain baharu dek sekatan perpindahan yang masih berjalan.

Belfort yang merupakan pemain kelahiran Haiti mula berkelana ke Kelantan pada musim lalu bagi memenuhi slot pemain import dan bermain di posisi penyerang.

Bermain dengan baik apabila diturunkan, malang tidak berbau apabila Belfort akhirnya dibelenggu dengan kecederaan serius sehinggakan terpaksa dikejarkan ke hospital dan tidak dapat bermain sampai penghujung musim tersebut.

Pemain yang sebelum ini pernah bermain di Liga Bangladesh itu telah membuat keputusan yang drastik untuk meninggalkan Kelantan pada awal musim ini dan mendapat pelbagai reaksi netizen yang agak terkejut dengan pemergian pemain tersebut, sedangkan prestasinya sebelum kecederaan amatlah baik dan banyak membantu skuad tersebut kekal di kelompok teratas liga perdana dan pernah dipilih sebagai pemain terbaik bulanan untuk pasukan.

Untuk rekod, Kervens Belfort yang kini berusia 31 tahun itu sememangnya menjadi salah satu pemain import kegemaran peminat selepas tampil 10 perlawanan dengan minit permainan sebanyak 753 minit.