Negara luar lebih hargai jurulatih Malaysia, di sini jurulatih ‘local’ dibayar sikit berbanding jurulatih luar – Hafiz Hashim

591

Bekas pemain badminton nombor satu negara, Hafiz Hashim menganggap bayaran yang tidak setimpal di Malaysia menyebabkan ramai jurulatih dari negara ini mengambil tawaran dari luar negara.

Katanya, jurulatih tempatan kurang dihargai di negara sendiri, dan negara luar menawarkan gaji yang lebih tinggi, justeru tidak hairanlah sekiranya ramai jurulatih dari Malaysia ramai yang mahu ke luar negara.


“Bagi saya negara luar lebih hargai jurulatih dari Malaysia berbanding negara sendiri, mereka tawarkan gaji yang lebih besar dan kita sebagai jurulatih sudah tentu kita mahukan gaji yang bagus.

Tanyalah mana-mana jurulatih pun jika gaji yang ditawarkan kecil, sudah tentu mereka tidak mahu terima, kita bercakap berdasarkan keadaan ekonomi sekarang,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hafiz bagaimanapun menafikan bahawa jurulatih yang mengambil tawaran lebih besar di luar negara sebagai mata duitan, tetapi mempersoalkan mengapa Malaysia boleh membayar gaji jurulatih luar negara lebih tinggi daripada jurulatih tempatan.

Beliau yang ketika ini melatih di India memberi contoh jurulatih daripada Indonesia yang berkhidmat di negara ini, yang dibayar lebih tinggi dari jurulatih tempatan.

“Di Malaysia, jurulatih tempatan tidak dibayar tinggi tetapi mengapa jurulatih dari luar negara sebaliknya?

Sebenarnya konteksnya sama sahaja, jika mereka bayar jurulatih tempatan seperti apa yang mereka tawarkan pada jurulatih luar, kami pun dah rasa mencukupi.”

Katanya, antara sebab mengapa jurulatih dari Malaysia ramai yang menerima tawaran luar negara adalah kerana pencapaian memberangsangkan ketika bergelar pemain.

Hafiz ketika ini menjadi jurulatih kepada jaguh perseorangan wanita India, PV Sindhu yang baru-baru ini secara peribadi memintanya untuk menjadi jurulatih dalam persiapan untuk ke Sukan Olimpik Paris 2024.