Lantik Wong Tat Meng jadi jurulatih adalah bagus, tetapi Lee Zii Jia sendiri harus berani berubah – Hafiz Hashim

169

Bekas pemain badminton perseorangan lelaki nombor satu negara, Hafiz Hashim melihat pelantikan Wong Tat Meng sebagai jurulatih baharu Lee Zii Jia adalah sesuatu perkara yang positif untuk mengembalikan prestasi pemain itu ke tahap yang terbaik.

Katanya, Tat Meng adalah seorang jurulatih yang berpengalaman dan ini boleh menjadi permulaan kepada kebangkitan prestasinya seperti dahulu.


“Melantik Tat Meng sebagai jurulatih adalah salah satu perkara bagus yang dilakukan olehnya.

Kita tahu Tat Meng juga adalah jurulatih yang berpengalaman, jadi ia adalah perkembangan yang positif,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Walaubagaimanapun, beliau berkata bahawa ia tidak menjanjikan Zii Jia itu akan terus kembali ke prestasi terbaiknya kerana segala-galanya terpulang kepada diri sendiri.

Jelasnya, jurulatih hanya mampu memberi sokongan kepada pemain dan sebagai pemain, Zii Jia sendiri yang harus berusaha.

“Kita tak boleh nak kata apabila ada jurulatih boleh terus jadi bagus, sebenarnya ia terpulang kepada diri sendiri juga.

Apa yang jurulatih lakukan adalah beri sokongan kepada pemain dan Zii Jia sendiri tahu bahawa benda ini harus datang daripada dirinya sendiri.”

Hafiz menegaskan bahawa Zii Jia harus berani menjadi dirinya seperti dahulu ketika menampilkan prestasi yang terbaik dan meninggalkan apa sahaja perkara yang menjadi penghalang ketika ini.

Beliau berharap Tat Meng mampu mengatur kembali Zii Jia untuk menjadi pemain yang disegani seperti dahulu, dan pemain itu akan memberi kerjasama terhadap apa yang dirangka oleh jurulatihnya.