LZJ mahu berjuang dengan Wong Tat Meng, bawa nama Malaysia di Olimpik Paris 2024

293

Pemain badminton utama negara, Lee Zii Jia (LZJ) kini komited mahu perbaiki kedudukan ranking dunia dan membuat persiapan rapi bagi menghadapi Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

LZJ yang sebelum ini mengambil keputusan untuk berehat seketika dari dunia badminton kini kembali menjalani latihan bersama jurulatih barunya iaitu Wong Tat Meng dan berkata dengan reputasi dan pengalaman jurulatih itu memberinya keyakinan untuk menggalas misi negara untuk meraih pingat di Sukan Olimpik nanti.


Dalam satu perkongsian video TeamLZJ di Twitter, beliau memberitahu bahawa dia ingin memiliki seorang jurulatih tempatan (Wong Tat Meng) bersamanya untuk berjuang bersama-sama membawa nama Malaysia dan mengejar impian mereka di pentas sukan terbesar dunia itu.

“Saya harap akan bersama seorang jurulatih tempatan iaitu seorang yang memiliki kerakyatan Malaysia, supaya kita dapat pergi fight untuk Olimpik kali ini sebagai rakyat Malaysia,”

ujarnya.

Hal ini secara tidak langsung bakal mengulangi sekali lagi peristiwa bersejarah badminton negara apabila Datuk Lee Chong Wei sebelum ini beraksi di Olimpik bersama dengan barisan jurulatih tempatan antaranya Datuk Misbun Sidek, Tey Seu Bock dan juga Rashid Sidek.

Chong Wei cemerlang apabila berjaya membawa pulang pingat perak buat kontinjen Malaysia bagi tiga edisi iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Namun sehingga tahun 2016 itu juga, misinya untuk membawa pulang pingat emas pertama Olimpik yang diidamkan rakyat Malaysia tidak kesampaian apabila sering kandas pada perlawanan akhir kepada pemain dari China iaitu Lin Dan dan Cheng Long.

Jika ini yang dimahukan oleh LZJ ia secara tidak langsung menjawab teka teki peminat badminton negara tentang keadaan semasanya ketika ini apabila bekas pemain nombor dua dunia itu memberitahu bahawa dia mengharapkan bakal mempunyai chemistry yang baik dengan jurulatih baharunya itu.

LZJ turut menzahirkan harapannya untuk secepat mungkin kembali kepada prestasi optimumnya dengan kebergantungan terhadap bentuk latihan dan pengalaman yang luas daripada Wong Tat Meng sendiri.

“Ini adalah permulaan yang baru, harapnya dengan apa yang jurulatih Tat Meng ajar saya akan cepat serasi disebabkan kita sudah tidak banyak masa dan jurulatih (Wong Tat Meng) juga seorang yang sangat berpengalaman selain saya harap kami akan ada chemistry yang sangat special nanti.”

Pengalaman yang dimiliki jurulatih yang berumur 84 tahun itu tidak boleh disangkal lagi apabila sepanjang kariernya menjadi jurulatih, beliau telah berkelana jauh ke negara-negara seteru badminton negara antaranya Hong Kong, Korea Selatan dan juga Indonesia bagi menggilap bakat-bakat badminton yang sekarang berkelas dunia.

Selain itu, khidmat pemain badminton nombor satu negara itu masih ditagih untuk meraih pingat emas pertama dalam sejarah olimpik negara dan kekal dalam rancangan yang ditetapkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) iaitu Road to Gold (RTG) menjelang Olimpik Paris 2024.

Diharapkan LZJ yang kini sedang berada di tangga ke-17 ranking dunia dapat kembali mencari rentak dan prestasinya yang hilang selepas beberapa episode duka dikejohanan yang lepas.

LZJ bakal memulakan semula aksinya di Kejohanan Terbuka Korea 2023 pada 18 Julai ini dan dijadualkan bakal bertemu dengan pemain asal Hong Kong iaitu Ng Ka Long yang kini berada di tangga ke-14 ranking dunia.