Pemain Melaka FC dapat gaji sebulan dua kali – Nur Azmi Ahmad

603

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA), Datuk Wira Nur Azmi Ahmad memberitahu bahawa pasukan Melaka FC kini berada dalam keadaan yang cukup baik dan bebas dari sebarang masalah terutamanya membabitkan gaji.

Menurut Nur Azmi, ketika beliau menggalas jawatan tertinggi di kelab tersebut, setiap pemain menerima gaji sebanyak dua kali sebulan.


“Ketika saya bersama Melaka FC saya telah menetapkan pembayaran gaji sebanyak dua kali sebulan iaitu pada setiap 15 dan 30 haribulan dan tidak pernah gagal untuk melunaskan bayaran gaji setiap bulan.

Saya sebagai bekas pemain kebangsaan pastinya akan menitik beratkan mengenai kebajikan pemain,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau turut menjelaskan bahawa prestasi semasa pasukan dalam saingan Liga M3 ketika ini adalah berpunca daripada prestasi pemain yang kurang bagus dan bukannya kerana isu gaji.

Dalam pada itu, Nur Azmi juga memberitahu bahawa beliau pernah menawarkan bonus bersyarat, namun pemain tidak berani menyahut cabarannya.

“Saya pernah cabar pemain dengan berkata jika mereka mahu bonus RM5,000 saya tiada masalah, tapi jika kalah saya akan tolak RM2,500, jadi mereka tidak berani sahut cabaran saya itu.”

Terdahulu, Nur Azmi mula memegang tampuk kempimpinan MAFA sejak Ogos 2022 telah digantikan dengan Datuk Seri Ab. Rauf Yusof pada bulan Mei yang lalu selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif MAFA sebulat suara membuat keputusan itu.

Mengikut Perlembagaan MAFA, pelantikan Ketua Menteri yang baru secara automatic akan menyandang jawatan Presiden MAFA.

Selain menubuhkan kelab Melaka FC yang bersaing dalam Liga M3, Nur Azmi juga berjaya menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Tuan Yang Terutama (TYT) dan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi.