Jika pilihan Zamsaham ‘menjadi’, beliau sudah boleh jadi jurulatih

1,462

Pemilik Kelantan FC iaitu Norizam Tukiman kini sedang dalam proses membina semula pasukannya yang mana kali ini beliau tidak lagi mahu mendengar cadangan pihak lain sebaliknya beliau sendiri akan mencari ketua jurulatih dan pemain.

Norizam atau mesra dengan panggilan Zamsaham berkata demikian di Facebook miliknya dengan berkata beliau sudah penat mendengar cadangan pihak luar dan mempertaruhkan pilihannya sendiri.


The Red Warrior berdepan pelbagai isu terutamanya tunggakan gaji yang menyebabkan ramai pemain ambil keputusan untuk ‘cabut lari’ dek tak tahan tak dapat bayaran, malah mereka juga berdepan masalah dengan bekas ketua jurulatih dari Korea Selatan, Choi Moon-sik.

Tidak cukup dengan itu, bekas ketua jurulatih Rezal Zambery yang menjadi individu yang bertanggungjawab membawa kelab itu naik ke Liga Super juga sudah tidak lagi bersama Kelantan, sebaliknya kini berhijrah ke pasukan jiran iaitu Kelantan United FC.

Baru-baru ini Zamsaham telah memperkenalkan ketua jurulatih baru iaitu Alfredo Vera bagi menggantikan Frank Berhardt yang gagal bawa pasukan itu keluar dari episod kekalahan.

Kali ini pemain yang berada dalam skuad TRW adalah 100% hasil daripada pilihan pemilik perniagaan itu baik pemain import ataupun pemain tempatan.

Ujian pertama Zamsaham adalah perlawanan menentang pendahulu liga iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan jika pasukannya berjaya pamer aksi cemerlang dan mampu bangkit, maka beliau sudah boleh ambil lesen kejurulatihan untuk mengendalikan pasukannya sendiri.

Dalam pada itu, disebalik persiapan pada jendela perpindahan kedua, Zamsaham juga memberitahu beliau kini dalam rundingan dengan dua pihak yang berminat untuk membeli kelab dari Pantai Timur itu dan sedia melepaskannya jika kena pada harganya.

Kelantan ketika ini berada di tangga tercorot Liga Super dengan hanya satu kemenangan sahaja.